Isu pengampunan Najib yang diberikan tahanan rumah.
Keputusan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan tambahan kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak, bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah tidak boleh dicabar di mahkamah.
Perkara itu ditegaskan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang turut membantah permohonan semakan kehakiman dikemukakan Badan Peguam Malaysia berhubung keputusan pengampunan tambahan berkenaan.
Menurut AGC, bantahan itu dibuat atas alasan keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diadili atau dicabar melalui prosiding mahkamah.
“Bantahan Jabatan Peguam Negara adalah berdasarkan alasan keputusan yang dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah tidak boleh diadili di mahkamah,” menurut kenyataan AGC.
Bantahan itu dikemukakan ketika pendengaran pada 12 November lalu bagi menentukan sama ada kebenaran boleh diberikan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berkenaan.
Penghujahan pihak-pihak terlibat dijadualkan berlangsung pada 17 Mac 2027.
AGC turut menegaskan pihaknya akan terus mempertahankan institusi diraja serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil.
Isu itu kembali menjadi perhatian selepas minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September yang dinyahklasifikasikan didedahkan kepada umum oleh bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua.
Minit berkenaan menunjukkan Peguam Negara, Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh tidak bersetuju dengan keputusan memberikan pengampunan tambahan kepada Najib.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini menjelaskan dokumen berkenaan dinyahklasifikasikan bagi membolehkan AGC menyediakan afidavit jawapan terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam Malaysia pada 11 November.
Menurutnya, kandungan minit mesyuarat perlu dimasukkan dalam afidavit kerajaan bagi menjawab cabaran undang-undang tersebut.
Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan berkenan memberikan pengampunan tambahan kepada Najib, sekali gus membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO berkenaan.
Selepas denda itu diselesaikan menggunakan dana yang dikumpulkan UMNO, Najib dipindahkan ke kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur, yang diwartakan sebagai penjara.
Pendedahan minit mesyuarat itu turut mencetuskan reaksi pemimpin UMNO yang menyifatkan tindakan Tony Pua sebagai tidak menghormati institusi diraja kerana membawa keputusan berkaitan kuasa pengampunan diraja ke dalam perdebatan politik.
Perkembangan terbaharu ini dijangka menjadi tumpuan menjelang pendengaran permohonan semakan kehakiman Badan Peguam Malaysia pada Mac tahun depan.
PH Negeri Sembilan desak kemelut politik diselesaikan segera
PAS masih jadi rebutan, Idris persoal pihak yang mahu kerjasama
Bekas pegawai khas Najib, aktivis UMNO diperintah bayar RM433,000 kepada pendakwah
Saarani: Belum ada keperluan bubar DUN Perak
Pembubaran DUN bukan jaminan krisis Negeri Sembilan selesai: Laporan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan