PAS dan Bersatu kini sudah berpisah secara rasmi.
Walaupun kemelut politik Perlis dilihat reda selepas Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu, suasana dalam Perikatan Nasional (PN) masih panas apabila beberapa pemimpin PAS tampil menyindir rakan gabungan mereka, Bersatu, secara terbuka.
Menurut sumber dalaman parti, Menteri Besar Perlis baharu diketahui umum sebagai penyokong dalam kem Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin yang dikaitkan dengan beberapa individu yang sering menghuru-harakan parti.
Di media sosial, nada kecewa dan marah jelas terpancar.
Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad, memuat naik kenyataan yang mengundang perhatian ramai dengan menyentuh soal pengkhianatan.
“Saya tak sedih tetapi gembira kerana sekarang kita tahu warna sebenar mereka. Pengkhianatan tidak boleh dibiarkan tanpa dihukum,” katanya.
Walaupun tidak menyebut nama mana-mana parti, hantaran itu dipercayai ditujukan kepada Bersatu susulan pelantikan Menteri Besar daripada parti tersebut.
Polemik politik Perlis sebelum ini berakhir apabila Abu Bakar, ADUN Kuala Perlis, dilantik secara rasmi di Istana Arau, sekali gus menamatkan ketidaktentuan kepimpinan negeri itu.
Namun, pelantikan tersebut nampaknya membuka episod baharu dalam hubungan PAS dan Bersatu.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, turut melontarkan sindiran pedas tidak lama selepas majlis angkat sumpah berkenaan.
Dalam hantaran di Facebook, beliau menulis, “Kawan makan kawan. Bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan.”
Kenyataan itu dianggap mencerminkan rasa tidak puas hati PAS terhadap tindakan Bersatu dalam krisis tersebut.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli menegaskan Bersatu perlu mengambil tindakan tegas terhadap lima ADUN parti itu yang menarik sokongan kepada bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Menurutnya, kegagalan berbuat demikian hanya akan menimbulkan tanda tanya terhadap keikhlasan Bersatu untuk terus bekerjasama dalam PN.
Nada serupa turut disuarakan Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, yang seolah-olah mengakui wujudnya keretakan dalam gabungan itu.
“Apakah retak menanti belah,” katanya ringkas, namun penuh makna.
Sebelum ini, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN )PAS bersama lima ADUN Bersatu menyerahkan akuan bersumpah kepada Raja Perlis bagi menyatakan penarikan sokongan terhadap Mohd Shukri.
Susulan keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, keahlian tiga ADUN PAS terbabit digugurkan serta-merta, sekali gus mengesahkan perpecahan dalaman yang kini semakin jelas di mata umum.
172 calon rebut 56 kerusi DUN Johor, saingan lima penjuru di tiga kerusi: SPR
Maszlee tawar agenda baharu demi Johor, kerajaan negeri seiring dengan persekutuan
Kempen PRN dipantau 24 jam, orang ramai diminta bantu bendung berita palsu: Fahmi
Calon ‘underdog’ PH lawan Onn Hafiz sedia beri saingan sengit di DUN Machap
PRN Johor buka tirai, 56 kerusi jadi rebutan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar