Ahmad Samsuri Mokhtar.
PAS mengesahkan rundingan pembahagian kerusi bersama UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memang berlangsung, namun kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar berkata parti itu bagaimanapun tidak mahu terus memanjangkan isu berkenaan kerana keutamaan kini adalah menyusun strategi menghadapi cabaran politik menjelang hari pengundian.
Menurut beliau, pelbagai siri perbincangan telah diadakan sebelum ini, bukan sahaja dengan UMNO malah melibatkan pelbagai pihak lain.
“Apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita bergerak ke hadapan bermula hari ini. Sebelum ini pelbagai perbincangan telah diadakan, bukan sahaja dengan UMNO tetapi juga dengan semua pihak.
“Saya tidak akan panjangkan perkara itu kerana apa yang lebih penting ialah bagaimana kita bergerak ke hadapan. Cabaran yang bakal dihadapi jauh lebih besar berbanding apa yang telah kita lalui,” katanya dipetik laporan media.
Mengulas sama ada rundingan tersebut boleh dianggap gagal, Ahmad Samsuri menegaskan politik sentiasa bersifat dinamik dan setiap perkembangan mempunyai hikmah yang mungkin membuka peluang lebih baik pada masa hadapan.
“Dalam politik tidak ada istilah gagal. Apa yang sesetengah pihak anggap sebagai kegagalan mungkin sebenarnya membawa kebaikan dan membuka ruang kepada sesuatu yang lebih baik pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi berkemungkinan menyertai PAS selepas meninggalkan UMNO, Ahmad Samsuri berkata parti itu sentiasa terbuka menerima sesiapa yang ingin bersama perjuangannya.
“Seperti parti-parti politik lain di negara ini, PAS sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bersama PAS. Terpulang kepada individu berkenaan untuk membuat pertimbangan masing-masing, namun pintu PAS sentiasa terbuka,” katanya.
Sebelum ini, timbul spekulasi mengenai rundingan antara PAS dan UMNO Johor berhubung pembahagian kerusi menjelang PRN Johor, namun kedua-dua parti akhirnya memilih haluan berbeza.
SPR keluar peringatan menjelang penamaan calon PRN Johor
Sokongan terhadap Anwar kekal tertinggi: Tinjauan Merdeka Center
Annuar sahkan rundingan PAS-UMNO, kerjasama gagal dimeterai untuk PRN Johor: Laporan
Selepas Puad keluar UMNO, bekas ADUN Layang-Layang pula umum sertai Bersatu
Puad pertahan cadang anak jadi calon, dakwa pemilihan tidak adil
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar