Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim memberi amaran UMNO berada di persimpangan berbahaya dan boleh terus tenggelam jika Pergerakan Pemuda parti itu gagal menjadikan agenda memerangi rasuah serta pembaharuan demokrasi dalaman sebagai keutamaan utama.
Dalam satu tulisan bersempena Konvensyen Pemuda UMNO hari ini, veteran PKR itu menyifatkan usaha Pemuda UMNO di bawah pimpinan Dr Akmal Salleh sebagai peluang penting untuk menghidupkan kembali budaya kebebasan bersuara dalam parti yang menurutnya telah lama “mati dari dalam”.
“Jika Pemuda benar-benar berani, inilah masanya untuk bangkit dan menyelamatkan parti daripada kehancuran,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Hassan mengingatkan kejatuhan UMNO bukan berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya melalui proses panjang bermula sejak Pilihan Raya Umum 2008, kehilangan majoriti dua pertiga pada 2013, kejatuhan kerajaan Persekutuan pada 2018, dan prestasi paling lemah pada PRU 2022 apabila hanya 26 kerusi Parlimen dimenangi.
Menurut beliau, dua punca utama kemerosotan itu ialah budaya rasuah dalam kalangan elit kepimpinan serta amalan autokratik yang mengekang demokrasi dalaman parti.
“UMNO dulu dibina atas semangat perbahasan dan kebebasan bersuara, bukan ketakutan dan budaya tutup mulut,” katanya.
Walaupun mengakui beliau bukan ahli UMNO, Hassan berkata pandangannya didorong oleh realiti bahawa UMNO masih parti terbesar orang Melayu di peringkat akar umbi, selain hubungan peribadinya dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, yang dikenalinya sejak zaman mahasiswa.
Namun beliau menegaskan Pemuda UMNO tidak seharusnya menjadi perisai kepada pemimpin yang terpalit atau disabitkan kes berkaitan skandal 1MDB.
“Beban hutang berpuluh bilion ringgit ini akan diwarisi generasi muda. Itu bukan perjuangan,” katanya.
Hassan turut menolak cadangan agar UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, beliau menegaskan konvensyen hari ini wajar menjadi titik mula untuk menuntut Mesyuarat Agung Khas bagi membuka laluan pemilihan Presiden UMNO yang adil, bersih dan terbuka.
“Jihad sebenar Pemuda UMNO ialah lawan rasuah tanpa kompromi dan kembalikan demokrasi dalaman,” tegasnya, sambil menambah bahawa langkah berani itu mampu mencatat Pemuda UMNO hari ini sebagai generasi yang menyelamatkan parti dan menjadikannya kembali relevan.
Samsuri tandatangan watikah hanya selepas rundingan PAS-BN gagal: Marzuki
172 calon rebut 56 kerusi DUN Johor, saingan lima penjuru di tiga kerusi: SPR
Kempen PRN dipantau 24 jam, orang ramai diminta bantu bendung berita palsu: Fahmi
Calon ‘underdog’ PH lawan Onn Hafiz sedia beri saingan sengit di DUN Machap
Bersatu berkempen dengan kekuatan sendiri, tak apa PAS tak mahu bantu: Muhyiddin
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar