Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Kerajaan Madani meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200 juta bagi membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan maahad tahfiz daif di seluruh negara, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bertujuan memastikan pelajar di institusi pendidikan agama yang tidak berada di bawah sistem pendidikan kebangsaan turut menikmati kemudahan setara dengan sekolah kerajaan.
Menurut Anwar, laporan yang diterima kerajaan mendapati banyak SAR berada dalam keadaan paling daif berbanding sekolah lain di negara ini, sedangkan lebih 300,000 pelajar menuntut di institusi berkenaan.
“Walaupun tidak termasuk dalam skim pendidikan kebangsaan, hak anak-anak ini tidak boleh diketepikan. Bantuan kepada SAR pernah dihentikan sebelum ini dan hakikatnya ia memberi kesan besar kepada kebajikan pelajar,” katanya.
Beliau menegaskan dana RM200 juta itu akan digunakan bagi membaiki kemudahan asas sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz yang memerlukan, sebagai langkah segera membantu ribuan pelajar di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memberi jaminan kebajikan rakyat kekal menjadi teras utama pentadbiran Kerajaan Madani.
Katanya, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada bantuan bersasar, sokongan kos sara hidup, kenaikan gaji penjawat awam serta pengukuhan sektor pendidikan dan kesihatan.
“Semua langkah ini saling melengkapi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, mengukuhkan keyakinan pelabur dan memastikan hasil negara dapat dinikmati secara adil oleh rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran dengan memperkemas birokrasi dan mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan awam, selain menyegerakan projek rakyat seperti pembaikan sekolah dan klinik daif, jalan berlubang serta pemasangan lampu jalan.
Ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 di Putrajaya, Anwar menekankan reformasi institusi sebagai tunjang pentadbiran, termasuk pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
“Ini penting untuk membina negara hukum yang lebih telus, berintegriti dan benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya.
Sasar 5,010 peserta sertai latihan AI di NADI seluruh negara: Fahmi
Kerajaan perkasa bantuan guaman syarie dengan peruntukan baharu RM1.5 juta: PMX
Portal rasmi KKM diserang penggodam
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar