Anwar adakan lawatan rasmi ke Turkiye bermula esok hingga 8 Jan: Laporan

January 5, 2026 · Isu semasa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye bermula esok hingga 8 Jan, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata sepanjang lawatan itu, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, selain bersama-sama mempengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi Malaysia-Turkiye.

Beliau berkata lawatan berkenaan mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Turkiye untuk mempertingkatkan kerjasama strategik secara lebih tersusun dan menyeluruh.

“Lawatan ini turut merangkumi perbincangan mengenai kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi, pendidikan serta hubungan antara rakyat.

“Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan syarahan umum serta mengadakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan Turkiye dan diaspora Malaysia,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim hari ini.

Tunku Nashrul berkata selain program rasmi di Ankara, lawatan ke Istanbul akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi menerusi sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye, selain sesi interaksi bersama media bagi menjelaskan hala tuju hubungan Malaysia-Turkiye.

“Secara keseluruhan, lawatan rasmi ini mencerminkan keazaman Kerajaan Madani untuk terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa yang strategik, pragmatik dan berorientasikan hasil, berteraskan prinsip Malaysia Madani demi manfaat jangka panjang rakyat dan negara,” katanya.

Menyentuh amanat Perdana Menteri hari ini yang menggariskan hala tuju negara bagi tahun 2026, Tunku Nashrul berkata kerajaan akan terus memperkukuh komunikasi strategik bagi memastikan maklumat dapat disampaikan kepada rakyat secara jelas, konsisten dan berfakta.

Beliau berkata usaha itu juga bertujuan memudahkan akses rakyat kepada pelbagai perkhidmatan dan peluang yang tersedia tanpa menimbulkan kekeliruan.

“Tahun ini turut menyaksikan tumpuan baharu menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan merancakkan sektor pelancongan, malah membuka peluang untuk menggerakkan ekonomi tempatan, memperkukuh ekosistem komuniti serta mempamerkan hospitaliti Malaysia sebagai destinasi unggul di rantau ini.

“Insya-Allah, dengan iltizam yang lebih jitu dan sokongan berterusan rakyat, Kerajaan MADANI akan terus melangkah ke hadapan pada tahun ini dengan membawa hasil yang bermakna kepada rakyat secara keseluruhan, berasaskan reformasi berterusan dan kestabilan pentadbiran negara,” katanya. – Bernama

Berita berkaitan
Anwar: Rasuah sudah jadi masalah sistemik, tindakan tegas perlu diteruskan
November 26, 2026· Isu semasa
Bubar Parlimen: Anwar minta parti politik jangan tergesa-gesa
November 26, 2026· Politik
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
21 jam lalu· Isu semasa
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
November 24, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
November 26, 2026 · Isu semasa
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
November 26, 2026 · Isu semasa
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
16 jam lalu · Isu semasa
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
16 jam lalu · Isu semasa
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
18 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
November 24, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok