Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyuarakan kebimbangan terhadap sebahagian umat Islam yang dilihat semakin hilang arah, terperangkap dalam budaya kebendaan serta obsesi terhadap jawatan dan kuasa.
Baginda bertitah, kekayaan material seolah-olah menjadi “akidah baharu” sehingga mendorong persaingan tidak sihat, perbuatan bercanggah dengan etika dan pengorbanan integriti demi kepentingan diri.
Keadaan itu, menurut baginda, menghakis nilai kemanusiaan dan menjauhkan manusia daripada pegangan agama yang sebenar.
Sultan Nazrin, selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI), menegaskan kerakusan mengejar jawatan dan kuasa telah melahirkan budaya sogokan dan fitnah untuk menjatuhkan pihak lain, sekali gus mencerminkan sikap jahiliah.
“Jawatan dan kuasa adalah ujian terhadap iman dan takwa. Jika tidak disertai iman dan takwa, ia boleh menjejaskan ketauhidan serta mengalih ketaatan daripada perintah Allah kepada arahan manusia,” titah baginda.
Baginda bertitah ketika mempengerusikan Mesyuarat MKI Ke-74 yang turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan, timbalannya Marhamah Rosli, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee.
Menurut Sultan Nazrin, institusi Islam juga tidak terkecuali menerima persepsi negatif sekiranya wujud kelemahan pengurusan atau ketiadaan integriti dalam kalangan pemimpin.
Namun, institusi yang berintegriti dan cemerlang mampu memacu kemajuan ummah, membetulkan persepsi terhadap Islam serta membina imej positif agama.
Sehubungan itu, baginda menegaskan pemimpin institusi Islam mesti memiliki integriti yang tidak diragukan, berfikiran proaktif dan berani membawa pembaharuan.
Pada masa sama, baginda mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu mengejar pencapaian lahiriah hingga mengorbankan adab, akhlak dan tanggungjawab agama.
“Pendidikan Islam perlu membina kekuatan dalaman dan melahirkan insan seimbang, bukan sekadar mengejar akademik tanpa nilai,” titah baginda, sambil menyeru ahli MKI memberi fokus serius kepada agenda pendidikan ummah demi kesejahteraan negara.
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
IPTA terima kemasukan pelajar berdasarkan merit, tiada pintu belakang: Adam Adli
Parlimen bebas bahas, undi calon pendakwa raya: Azalina
Kuota 200 liter RON95 cukup untuk hampir semua pengguna: Amir Hamzah
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar