Kes kehilangan Pastor Raymond Koh.
Kerajaan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya menangguhkan pembayaran lebih RM37 juta yang diperintahkan kepada keluarga Pastor Raymond Koh, susulan keputusan mahkamah berhubung kehilangannya hampir sedekad lalu.
Peguam Persekutuan, Nurul Farhana Khalid, berkata permohonan penangguhan itu dibuat kerana penghakiman berkenaan melibatkan jumlah wang awam yang besar dan memerlukan penyelarasan antara beberapa agensi kerajaan sebelum sebarang pembayaran boleh dibuat.
Menurutnya, dana tersebut perlu dimasukkan ke dalam akaun amanah sekiranya penangguhan tidak dibenarkan.
“Penangguhan perintah mahkamah ini tidak akan memprejudiskan pihak plaintif,” katanya di mahkamah.
Beliau turut menegaskan permohonan itu tidak difailkan lewat dan hanya dikemukakan selepas kerajaan menerima semua dokumen mahkamah yang diperlukan.
“Ini bukan isu kerajaan enggan mematuhi penghakiman,” tambahnya.
Bagaimanapun, peguam Jerald Gomez yang mewakili keluarga Koh membantah permohonan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan yang menafikan hak keluarga itu selepas bertahun-tahun menunggu keadilan.
“Permohonan untuk menangguhkan penghakiman sepatutnya dibuat serta-merta selepas keputusan disampaikan pada 5 November. Malah, notis rayuan telah difailkan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Hakim Mahazan Mat Taib menetapkan 26 Januari ini untuk menyampaikan keputusan berhubung permohonan penangguhan tersebut.
Kes ini berpunca daripada kehilangan Koh pada Februari 2017, apabila beliau diculik di Petaling Jaya dalam satu operasi yang dirakam kamera litar tertutup.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan seorang atau lebih pegawai polis, termasuk yang masih berkhidmat dan bekas anggota, terlibat dalam penculikan itu dan bertindak atas arahan.
Mahkamah mengarahkan kerajaan membayar RM33 juta sebagai ganti rugi atas perbuatan salah terhadap Koh, namun wang itu perlu disimpan dalam tabung amanah dan tidak boleh diserahkan kepada isterinya, Susanna Liew, serta tiga anak mereka sehingga keberadaan Koh dapat dipastikan.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan bayaran RM4 juta sebagai ganti rugi am dan teruk, serta kos RM250,000 kepada keluarga berkenaan.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Mahkamah sekat Papagomo sebar kandungan didakwa memudaratkan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar