Tuan Ibrahim Tuan Man.
Seorang pemimpin PAS menggesa semua pihak dalam Perikatan Nasional (PN) supaya menghentikan tindakan dan penulisan yang hanya mengelirukan ahli serta merosakkan muafakat gabungan itu, ketika parti berkenaan berdepan ketegangan dalaman yang berpanjangan.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sebagai sebuah gabungan yang menjadi harapan sebahagian besar rakyat, PN tidak terlepas daripada perasaan iri hati pihak lawan, khususnya daripada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Namun menurutnya, cabaran sebenar datang apabila isu dalaman gagal diurus dengan matang.
“Kita mesti kembali memperkukuh muafakat bersama, mengeratkan jalinan, dan memperkemas kerjasama. Rakyat masih menaruh harapan kepada kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan perbezaan pandangan dalam gabungan adalah perkara biasa, tetapi ia tidak seharusnya membuka ruang kepada musuh politik untuk menggugat perpaduan yang telah dibina.
Sebarang kenyataan yang mengguris perasaan rakan gabungan juga wajar dihentikan, termasuk perbuatan menikam dari belakang.
Dalam nada tegas, Tuan Ibrahim turut menyentuh soal peranan penulis dan penganalisis dalam kalangan ahli parti.
Katanya, ada tulisan yang membantu menjelaskan pendirian parti dan mengukuhkan kesatuan, namun ada juga yang sebaliknya.
“Ada pihak yang tulisannya baik dan membantu memperkukuh jemaah. Tetapi ada juga yang lebih baik berhenti menulis jika ia hanya berterusan mengelirukan ahli,” katanya sambil mengingatkan semua pihak supaya menilai semula peranan masing-masing.
Kenyataan itu hadir ketika hubungan antara PAS dan Bersatu dilihat belum kembali stabil, dengan isu jawatan Pengerusi PN masih menjadi tanda tanya.
Keadaan itu menyaksikan perbezaan pandangan dilontarkan secara terbuka, khususnya di media sosial, sama ada secara langsung atau berlapik.
“Ketika ini ada pihak yang bertepuk tangan melihat PN bertelagah sesama sendiri. Dalam keadaan begini, tidak mustahil musuh menyelinap masuk untuk menimbulkan keraguan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam muafakat politik, tidak semua kehendak dapat dipenuhi, namun asas persefahaman dan sikap saling menghormati mesti terus dipertahankan jika PN mahu kekal relevan menjelang pilihan raya akan datang.
Tiada perubahan kepimpinan Negeri Sembilan, Aminuddin kekal MB: PMX
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
Puad bidas DAP takut bubar DUN Negeri Sembilan
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
Zahid tolak langkah ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan: Loke
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan