Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan 20 langkah penambahbaikan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengukuhkan sistem tadbir urus serta menutup ruang ketirisan dalam beberapa aspek pengurusan agensi itu.
SPRM memaklumkan penemuan itu melibatkan lima bidang utama termasuk pengurusan projek penerbitan kandungan siaran Studio Radio (Bahan Kreatif), tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia 2023 (SUKANUN Ke-12), pengagihan tapak Bazar Ramadan dan Aidilfitri, kutipan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), serta pemantauan kontrak pengurusan lesen perniagaan.
Menurut SPRM, syor tersebut dibuat hasil pemerhatian serta siasatan Bahagian Penyiasatan Tatakelola terhadap prosedur operasi sedia ada di DBKL.
“Penambahbaikan ini penting bagi memastikan ketelusan dan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” menurut kenyataan agensi itu.
Cadangan berkenaan disambut positif oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Fadlun Mak Ujud, yang melihatnya sebagai langkah strategik dalam memperkukuh integriti organisasi.
“Kami komited menambah baik sistem dalaman supaya perkhidmatan bandar raya dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan telus,” katanya.
Pembentangan syor itu disampaikan Ketua Cawangan F Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Zulhairy Zaidel, dalam satu sesi yang turut dihadiri kepimpinan bahagian berkenaan.
DBKL memainkan peranan penting sebagai pihak berkuasa tempatan yang mengurus pembangunan, perancangan bandar, serta penyediaan kemudahan awam di ibu negara.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, aspek tadbir urus dan integriti agensi kerajaan tempatan sering menjadi perhatian susulan usaha berterusan kerajaan memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor awam.
Langkah penambahbaikan yang disyorkan dilihat selari dengan agenda nasional membanteras rasuah serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
SPRM menegaskan pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan cadangan yang dikemukakan dapat dilaksanakan secara efektif.
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
Kerajaan pertimbang namakan jalan di KL sempena A Samad Said
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib