Hishammuddin Hussein.
Bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan turut mengemukakan permohonan untuk kembali menyertai parti itu, menurut Asyraf Wajdi Dusuki.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO tersebut menerusi satu hantaran di Facebook susulan keputusan bekas ketua pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyerahkan surat rayuan untuk kembali ke pangkuan parti tersebut.
Menurut beliau, beberapa pemimpin yang sebelum ini digantung atau dipecat daripada UMNO kini tampil mengemukakan permohonan untuk kembali memperkukuhkan parti itu.
“Berita yang cukup syahdu dan menggembirakan di malam-malam terakhir Ramadan. Selain Khairy Jamaluddin, ramai lagi pemimpin yang pernah menabur jasa telah menyerahkan surat permohonan untuk kembali bersama memperkuatkan wadah perjuangan Rumah Bangsa ini termasuk Hishammuddin Tun Hussein,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar UMNO terus diberkati dalam usaha memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan kepentingan negara.
“Semoga Allah memberkati UMNO sebagai Rumah Bangsa untuk terus memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan negara keseluruhannya,” tambahnya.
Terdahulu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan menerima kunjungan Khairy yang menyerahkan sendiri surat rayuan untuk kembali menyertai parti berkenaan.
Hishammuddin sebelum ini pernah menyatakan kesediaannya untuk kembali bersama UMNO sekiranya penggantungan keahliannya ditarik balik oleh parti itu.
Beliau juga menghargai keterbukaan kepimpinan parti yang memberi ruang kepada bekas ahli untuk kembali berjuang bersama.
“Saya amat terharu dan berterima kasih atas kesediaan kepimpinan parti yang membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli yang pernah digantung atau dipecat untuk kembali bersama UMNO,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.
Untuk rekod, Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Januari 2023, bersamaan dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Penggantungan itu berlaku dalam tempoh pergolakan dalaman parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15, yang menyaksikan beberapa pemimpin dikenakan tindakan disiplin.
Darurat bukan jalan tangguh PRN, bercanggah amalan demokrasi: Hassan Karim
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan