Pemandu mabuk dan positif dadah terlibat dalam kemalangan di Klang sebelum ini ditahan polis.
Seorang lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam satu kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang, kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap suspek berusia lingkungan 20-an itu bermula hari ini hingga Khamis, dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Lim Jit Huey berkata, tindakan tersebut diambil bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
“Suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian semalam, mangsa yang merupakan lelaki berusia lingkungan 30-an disahkan maut di lokasi selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Honda City.
Kejadian berlaku ketika suspek memandu dari arah Jalan Raya Barat menuju ke pusat bandar Klang.
Menurut Lim, siasatan awal mendapati suspek memandu secara melulu pada kelajuan tinggi sebelum memotong beberapa kenderaan lain.
“Suspek dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal mangsa dari arah hadapan,” katanya.
Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh ke atas sebuah kenderaan lain, iaitu Perodua Myvi.
Mangsa bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ujian saringan awal terhadap suspek mendapati lelaki itu positif alkohol dan dadah. Suspek kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Polis menegaskan siasatan masih dijalankan dan orang ramai diingatkan agar tidak memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh bahan terlarang kerana boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.
SPRM sahkan panggil Rafizi beri keterangan Isnin
Ringgit kukuh, ekonomi Malaysia kian diyakini dunia: Kamil
Kes bunuh 61 tikaman: Mangsa baharu seminggu sambung semester baharu
Global Sumud Flotilla: 10 rakyat Malaysia sudah dibebaskan
Kesan krisis bekalan global dijangka dirasai sebulan dua lagi: Tengku Zafrul
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan