Aplikasi MCMC Nexus mudahkan ujian kelajuan internet masa nyata

March 31, 2026 · Isu semasa

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan aplikasi mudah alih MCMC Nexus yang membolehkan pengguna mengukur kelajuan dan kualiti internet secara masa nyata. I

Melalui aplikasi itu, data liputan rangkaian dikumpul secara terus dan dihantar kepada MCMC untuk dianalisis dengan semua maklumat berkaitan lokasi, masa dan koordinat digunakan sebagai panduan bagi menentukan kawasan yang memerlukan pencawang tambahan atau penambahbaikan rangkaian.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, inisiatif ini juga membantu kerajaan merancang pembangunan infrastruktur digital untuk memperkukuh ekosistem teknologi negara.

“Jika sesuatu kawasan menerima banyak laporan berkaitan internet lemah, ia akan ditandakan dan tindakan susulan akan diambil terhadap syarikat telekomunikasi terbabit. Data yang dihantar melalui aplikasi ini juga akan disalurkan kepada penyedia perkhidmatan supaya penambahbaikan dapat dibuat segera.” katanya selepas menyempurnakan pelancaran MCMC NEXUS hari ini.

MCMC Nexus dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan teknikal MCMC dan membolehkan pengguna membuat ujian kelajuan muat turun, muat naik, ping, dan jitter untuk rangkaian 4G, 5G dan Wi-Fi, selaras dengan piawaian Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

Aplikasi ini turut menyediakan fungsi ‘route survey’ dan ‘building survey’ bagi merekodkan isyarat rangkaian sepanjang perjalanan pengguna dan di dalam bangunan, termasuk tingkat tertentu yang mungkin mempunyai capaian lemah.

“Fungsi ‘Speed Test’ membolehkan pengguna menguji kelajuan internet mereka, manakala ‘Route Survey’ merakam isyarat sepanjang perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain. Fungsi ‘Building Survey’ pula menilai kekuatan liputan dalam bangunan, memastikan tiada kawasan yang tercicir,” tambahnya lagi.

Berhubung kebimbangan privasi, Nie Ching berkata pengguna tidak perlu risau kerana aplikasi ini tidak mengumpul maklumat peribadi dan ia hanya merekod data berkaitan rangkaian di sesuatu lokasi.

Sejak Februari 2025, aplikasi ini mencatatkan lebih 51,000 muat turun dengan kira-kira 168 juta titik data berjaya dikumpul di seluruh negara.

Menurut Nie Ching, pencapaian liputan internet di premis berpenduduk kini mencapai 99.71 peratus, manakala kelajuan median jalur lebar mudah alih negara melepasi 147 Mbps, sekali gus melebihi sasaran 100 Mbps.

Rangkaian 5G juga berkembang pesat dengan liputan 82.4 peratus oleh Digital Nasional Berhad dan 71.9 peratus oleh U Mobile.

Beliau menekankan pengalaman sebenar pengguna sangat penting dalam menilai prestasi rangkaian.

“Data prestasi rangkaian yang dikumpul melalui aplikasi ini membantu MCMC mengenal pasti kawasan liputan lemah dengan lebih tepat dan mempertingkatkan kualiti internet di seluruh negara,” katanya.

Berita berkaitan
Dana Inovasi Media 2.0 perkasa industri media berdepan cabaran digital: Teo Nie Ching
13 jam lalu· Isu semasa
Lebih 724,000 kandungan judi dalam talian diturunkan MCMC: Teo Nie Ching
16 jam lalu· Isu semasa
MCMC siasat akaun Facebook hina Sultan Selangor
16 jam lalu· Isu semasa
Derma palsu guna visual AI, orang ramai diminta berwaspada
November 2, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kerajaan kaji pengecualian PTPTN untuk graduan kelas pertama
7 jam lalu · Isu semasa
RM14 bilion wang tidak dituntut, ramai tak sedar: Amir Hamzah
7 jam lalu · Isu semasa
Winbox, Alibaba antara sindiket judi dalam talian terbesar dalam pantauan polis
10 jam lalu · Isu semasa
Pengerusi TH terima Ijazah Kehormat Doktor Da’wah dan Pengurusan USIM
13 jam lalu · Isu semasa
Mahkamah keluar injunksi halang Bloomberg siar artikel berkait Farhash: Laporan
13 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
November 1, 2026
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok