Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Abdul Rashid Hussain.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Abdul Rashid Hussain dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Da’wah dan Pengurusan sempena Majlis Konvokesyen Ke-24 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.
Penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kepakaran beliau selama lebih lima dekad dalam bidang perbankan, pelaburan serta tadbir urus korporat.
Naib Canselor USIM, Sharifudin Md Shaarani berkata, pengalaman luas Abdul Rashid serta sumbangannya dalam memperkasakan syiar Islam dan agenda sosioekonomi negara menjadikan beliau antara tokoh yang wajar dicontohi.
“Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan atas jasa dan sumbangan tokoh ini yang telah mengabdikan lebih lima dekad kepakarannya dalam perbankan, pelaburan dan tadbir urus korporat.
“Kepimpinan serta sumbangan bakti beliau, khususnya dalam memperkasakan syiar Islam dan agenda sosioekonomi menjadi sumber inspirasi buat seluruh graduan dan warga USIM,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Dewan Tuanku Canselor, USIM.
Majlis konvokesyen itu disempurnakan Tuanku Canselor USIM, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, yang berkenan berangkat mengisytiharkan pembukaan majlis berkenaan.
Dalam majlis sama, Profesor Norita Md Norwawi dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dianugerahkan gelaran Profesor Emerita sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran serta sumbangan beliau dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), etika teknologi dan integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
Norita yang pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Dekan FST, Dekan Pusat Pengajian Siswazah dan Pengarah Institut Sains Islam turut memainkan peranan besar dalam pembangunan akademik universiti, termasuk melahirkan puluhan graduan Doktor Falsafah (PhD).
Sharifudin berkata, kepimpinan dan sumbangan Norita bukan sahaja memperkukuh bidang penyelidikan serta akademik, malah membantu menyemai nilai amanah, akhlak dan kepimpinan kemanusiaan dalam kalangan mahasiswa.
“Beliau bukan sahaja telah melahirkan puluhan graduan Doktor Falsafah, malah menyuntik nilai amanah, akhlak dan kepimpinan kemanusiaan dalam jiwa mahasiswa USIM,” katanya.
Secara keseluruhan, seramai 3,363 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian diraikan pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-24 kali ini.
Daripada jumlah itu, seramai 2,709 graduan menerima ijazah sarjana muda, 452 graduan menerima Diploma Siswazah, manakala masing-masing 101 graduan menerima ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.
Penganugerahan berkenaan mencerminkan penghargaan USIM terhadap tokoh yang menyumbang kepada pembangunan ilmu, kepimpinan dan kemajuan masyarakat, selari dengan aspirasi universiti mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli.
Mahkamah keluar injunksi halang Bloomberg siar artikel berkait Farhash: Laporan
Dana Inovasi Media 2.0 perkasa industri media berdepan cabaran digital: Teo Nie Ching
Lebih 724,000 kandungan judi dalam talian diturunkan MCMC: Teo Nie Ching
MCMC siasat akaun Facebook hina Sultan Selangor
Sistem cukai mesti adil, golongan kaya tidak boleh terlepas: PMX
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum