Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kerajaan akan meneliti semula dasar pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam terdahulu yang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, penelitian itu akan mengambil kira aspek keadilan kepada peminjam sedia ada, selain memastikan dasar pembiayaan pendidikan negara kekal mampan.
Beliau berkata, dasar PTPTN akan disemak secara berterusan bagi memastikan bantuan pembiayaan pendidikan disalurkan secara bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Matlamat kita dalam PTPTN juga adalah untuk memastikan bantuan itu secara bersasar dan hanya diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Jadi sebahagian daripada pengecualian akan kita lihat dengan dasar itu juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Isu berkenaan dibangkitkan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang mempersoalkan perubahan syarat pengecualian bayaran balik PTPTN terhadap peminjam yang membuat pinjaman pada 2025 atau sebelumnya.
Chong mendakwa perubahan dasar itu menimbulkan persoalan mengenai pematuhan kepada perjanjian pinjaman asal yang secara jelas memperuntukkan pengecualian bayaran balik kepada graduan yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
Beliau meminta kerajaan mengekalkan kemudahan berkenaan untuk peminjam sedia ada, sekurang-kurangnya bagi tempoh peralihan sebelum dasar baharu dilaksanakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamzah berkata kerajaan turut menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik PTPTN kepada peminjam yang mempunyai pendapatan bulanan sehingga RM2,500.
Bagi peminjam berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan, bayaran balik minimum pula ditetapkan sebanyak RM50 sebulan bagi mengurangkan beban graduan yang baru memasuki alam pekerjaan.
Kerajaan juga menawarkan diskaun 10 peratus kepada peminjam yang mengekalkan rekod pembayaran teratur tanpa tunggakan. Selain itu, majikan yang membantu melunaskan pinjaman PTPTN pekerja layak menikmati potongan cukai bagi tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.
Menyentuh isu perlindungan kesihatan, Amir Hamzah berkata Bank Negara Malaysia (BNM) akan meneliti tatacara operasi syarikat insurans susulan aduan pemegang polisi berhubung sekatan memilih doktor pakar di hospital swasta.
Sementara itu, produk insurans dan takaful mampu milik MediAsas dijangka dilancarkan pada akhir Januari tahun depan bagi memperluas akses perlindungan kesihatan dan mengawal peningkatan kos rawatan.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan Kementerian Kewangan bagi Belanjawan 2027 berjumlah RM68.16 bilion dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 27 Ahli Parlimen.
Winbox, Alibaba antara sindiket judi dalam talian terbesar dalam pantauan polis
Pengerusi TH terima Ijazah Kehormat Doktor Da’wah dan Pengurusan USIM
Mahkamah keluar injunksi halang Bloomberg siar artikel berkait Farhash: Laporan
Dana Inovasi Media 2.0 perkasa industri media berdepan cabaran digital: Teo Nie Ching
Lebih 724,000 kandungan judi dalam talian diturunkan MCMC: Teo Nie Ching
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum