Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menolak gesaan Trump sebelum ini.
Amerika Syarikat (AS) mungkin menilai semula hubungannya dengan NATO selepas berakhirnya konflik dengan Iran, susulan kekecewaan terhadap sikap sekutu yang enggan menyokong kempen ketenteraan Washington.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio, berkata keputusan itu bergantung kepada Presiden, namun menegaskan penilaian semula adalah perlu.
“Selepas konflik ini berakhir, kita perlu menilai semula hubungan itu dan nilai NATO kepada negara kita,” katanya dalam temu bual bersama Fox News.
Rubio mengkritik beberapa negara anggota NATO kerana menolak permintaan AS untuk menggunakan pangkalan tentera mereka.
“Kami tidak meminta mereka melancarkan serangan udara. Apabila kami hanya memerlukan kebenaran menggunakan pangkalan, jawapannya ‘tidak’. Jadi, untuk apa kita berada dalam NATO?” katanya.
Walaupun mengakui AS sekian lama merupakan antara penyokong kuat NATO, Rubio memberi amaran bahawa pakatan itu berisiko menjadi “hubungan sehala” jika sekutu tidak memberi kerjasama ketika diperlukan.
“Mengapa kita menempatkan begitu ramai tentera di rantau ini jika pada saat genting kita tidak dibenarkan menggunakan kemudahan tersebut?” ujarnya.
Kenyataan itu muncul ketika beberapa sekutu Eropah dilaporkan menolak atau mengehadkan permintaan AS berkaitan konflik Iran, termasuk akses kepada pangkalan dan ruang udara.
Penolakan itu didorong kebimbangan terhadap aspek perundangan perang serta ketiadaan rundingan rasmi dalam kalangan anggota NATO.
Itali dilaporkan menolak permintaan pesawat AS untuk mendarat di pangkalan tentera di Sicily, manakala Sepanyol tidak membenarkan penggunaan pangkalan dan ruang udaranya.
Negara lain seperti United Kingdom, Perancis dan Jerman pula mengehadkan peranan mereka kepada sokongan pertahanan dan menggesa pengurangan ketegangan.
NATO, yang ditubuhkan pada 1949 sebagai pakatan pertahanan kolektif Barat, selama ini menjadi tonggak utama kehadiran ketenteraan AS di Eropah. I
a membolehkan Washington menempatkan pasukan dan aset strategik di rantau itu sebagai sebahagian daripada komitmen keselamatan bersama.
Namun, perkembangan terbaru ini mencetuskan persoalan baharu mengenai masa depan pakatan tersebut, khususnya dalam menghadapi konflik global yang semakin kompleks.
Ebit Lew diperintah bela diri kes gangguan seksual
Kapal bantuan Gaza dipintas, Malaysia kecam tindakan tentera Zionis: Fahmi
Kerajaan usaha bebaskan aktivis GSF, PMX rayu keluarga terus kuat
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
Penjimatan kerajaan fokus belanja tidak kritikal, tak termasuk kesihatan dan pendidikan: MOF
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan