Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerjasama dalam Jemaah Menteri masih berada pada tahap baik, sekali gus memberi gambaran kestabilan politik untuk kerajaan meneruskan perancangan negara.
Beliau berkata, pencapaian kerajaan ketika ini turut didorong dasar yang jelas, kestabilan politik serta kerjasama antara anggota Kabinet, meskipun terdapat pelbagai dakwaan mengenai hubungan dalam kerajaan yang tersebar di media sosial.
“Betul, kita tidak menafikan prestasi kita membanggakan kerana dasar yang jelas, politik yang stabil, kerjasama yang ada dalam Jemaah Menteri walaupun kadang-kadang dalam media sosial itu lain sedikit.
“Tetapi dari segi kerjasama, umumnya kita muafakat dengan baik dan ini memberikan gambaran kestabilan dan boleh kita merencanakan untuk negara,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) hari ini.
Beliau berkata, kestabilan politik yang dinikmati ketika ini perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan kerajaan dapat meneruskan agenda pembangunan serta melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Dalam masa sama, Anwar mengingatkan anggota pentadbiran supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian yang sudah diraih.
“Pencapaian yang membanggakan ini jangan sampai menyebabkan kita dilamun rasa enak dan senang dengan kejayaan.
“Sebaliknya, ia harus menjadi dorongan untuk kita terus bekerja dan memperbaiki prestasi demi kepentingan negara,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika timbul laporan mengenai dakwaan hubungan antara Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semakin tegang, termasuk dakwaan mesyuarat Jemaah Menteri kebelakangan ini berlangsung lebih singkat.
Sebelum ini, beberapa laporan turut mengaitkan ketegangan berkenaan dengan pendirian Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri yang lalu.
Bagaimanapun, penegasan Anwar mengenai tahap kerjasama dalam Kabinet memberi gambaran kerajaan masih berfungsi secara bersama, dengan kestabilan politik menjadi asas kepada perancangan pentadbiran.
Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menghimpunkan beberapa gabungan politik utama, termasuk PH dan BN, dalam usaha membentuk kerajaan majoriti serta memastikan pentadbiran negara lebih stabil.
Nasib Najib ditentukan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat esok
Wanita Malaysia ditahan bawa ganja RM2.2 juta di India: Laporan
Fahmi : Penjual dadah guna istilah pelik, kelirukan pengguna dalam talian
Fahmi: Ekonomi digital ASEAN sasar AS$2 trilion menjelang 2030
Fahmi: Malaysia mahu ASEAN bersatu bendung ancaman dalam talian
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum