Kes scam..
Sebanyak 251 kes penipuan cinta atau “love scam” direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, melibatkan kerugian melebihi RM6.6 juta, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Rusdi Mohd Isa.
Menurut Rusdi, sindiket penipuan ini semakin licik dengan memperdaya mangsa melalui hubungan dalam talian sebelum memanipulasi emosi untuk mendapatkan wang.
“Jangan terpedaya dengan drama cerita sedih, kecemasan dan ugutan kerana semua ini untuk manipulasi emosi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, antara taktik yang sering digunakan termasuklah mendakwa berada dalam situasi kecemasan, sakit, tersekat di kastam atau memerlukan wang untuk membeli tiket perjalanan.
“Jangan hantar duit kepada mereka walau apa pun alasan kerana itu adalah taktik utama penipuan,” tegasnya.
Love scam bukan isu baharu di Malaysia, namun kesnya terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama dengan perkembangan media sosial dan aplikasi temu janji. Mangsa selalunya dipikat dalam tempoh singkat sebelum diminta memindahkan wang dalam pelbagai alasan yang direka.
Rusdi turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan melakukan semakan awal terhadap individu yang dikenali secara dalam talian.
Antaranya termasuk menggunakan kaedah carian imej songsang atau “reverse image search” bagi memastikan gambar profil tidak digunakan di banyak akaun mencurigakan.
Selain itu, orang ramai juga digalakkan meminta panggilan video sebagai langkah pengesahan.
“Kebiasaannya penipu akan mengelak atau memberi alasan yang tidak munasabah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak akaun bank atau nombor telefon yang mencurigakan melalui platform Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi.
Pihak berkuasa berharap kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa, sekali gus membendung jenayah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Shuhaily kembali bertugas di AKPS, pengganti belum dibincang: Saifuddin
Bekalan makanan negara cukup untuk enam bulan: Zahid
Minyak dunia berisiko melonjak AS$140 setong: Goldman Sachs
Ringgit dibuka tinggi didorong jangkaan normalisasi OPR: Bernama
Johari: Kebergantungan pekerja asing perlu dikurangkan segera
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum