Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempergiat usaha melindungi pengguna perkhidmatan kurier menerusi pelancaran inisiatif Anti-Scam Parcel Shield bagi membendung penipuan berkaitan penghantaran bungkusan.
Inisiatif yang diterajui Postal Forum dengan sokongan MCMC itu memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat antara syarikat kurier dengan platform e-dagang, selain penyebaran amaran penipuan bagi meningkatkan kesedaran dan keselamatan pengguna.
Pelancaran itu berlangsung sempena sambutan Hari Kurier Negara 2026 (HKN2026) yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor, hari ini.
MCMC turut memperkenalkan beberapa langkah bagi meningkatkan kecekapan industri pos dan kurier, termasuk menggalakkan perkongsian rangkaian penghantaran antara syarikat bagi mengoptimumkan operasi serta memperluas akses perkhidmatan.
Menerusi Inisiatif Perkongsian Rangkaian Kurier (Courier Network Sharing), projek rintis penghantaran peringkat akhir atau *last-mile delivery* akan dilaksanakan di lokasi terpilih bagi menilai potensi perkongsian infrastruktur dan mengurangkan pertindihan operasi.
Menurut MCMC, hasil projek rintis itu akan menjadi asas pertimbangan sebelum pelaksanaannya diperluas ke kawasan lain.
Dalam aspek pendigitalan, pembangunan Sistem Pengalamatan Nasional (NAS) turut diberi perhatian bagi meningkatkan ketepatan alamat dan kecekapan penghantaran bungkusan.
Pengguna juga boleh memanfaatkan PAKEJ Map untuk mencari lebih 47,000 lokasi perkhidmatan pos dan kurier di seluruh negara, sekali gus memudahkan urusan penghantaran dan mendapatkan perkhidmatan berkaitan.
Selain inisiatif digital, kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 [Akta 741] serta merancang pewartaan Kaedah-kaedah Perkhidmatan Pos (Keselamatan Perkhidmatan Pos dan Barang Pos yang Dilarang) 2026 (PSR2026), tertakluk kepada kelulusan berkaitan.
Langkah itu bertujuan memperkukuh keselamatan perkhidmatan pos, akauntabiliti pengendali dan perlindungan pengguna ketika pertumbuhan e-dagang meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran.
Sektor pos dan kurier menyumbang RM6.9 bilion kepada ekonomi digital negara, menjadikan kecekapan operasi dan keyakinan pengguna antara aspek penting dalam memastikan pertumbuhan industri terus mampan.
Sambutan HKN2026 bertemakan “Memelihara Industri, Memperkukuh Kepercayaan” itu dianjurkan Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MCMC.
Majlis turut mengiktiraf warga industri menerusi anugerah Pekerja Kurier Terbaik, Cabaran Pemanduan Selamat dan program MyCSP Courier Safety Passport yang memberi penekanan kepada keselamatan serta kualiti perkhidmatan.
Bantu golongan miskin tanggungjawab kerajaan: Anwar
PMX umum tambahan geran bantu usahawan kecil sebanyak RM200 juta
Utusan rancang kecilkan operasi, 60 pekerja terkesan?
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum