Operasi yang dijalankan secara bersama oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Polis membuka siasatan terhadap pemilik satu akaun Facebook susulan penyebaran gambar yang didakwa menghina Sultan Selangor, mencetuskan kemarahan ramai serta laporan di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata pihaknya kini sedang meneliti secara terperinci hantaran yang dimuat naik pada 25 April lalu dan identiti individu yang terlibat telah dikenal pasti untuk tindakan lanjut.
“Siasatan terhadap individu berkenaan sedang dijalankan, termasuk merampas peranti yang digunakan untuk membuat hantaran,” katanya dalam kenyataan.
Siasatan itu dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menjejak bukti digital.
Setakat ini, sebanyak 21 laporan polis diterima dari pelbagai negeri, manakala 21 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan.
“Individu yang membuat laporan juga telah dirakam percakapan mereka untuk melengkapkan siasatan,” jelasnya lagi.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang melibatkan kecenderungan menghasut, selain Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan rangkaian komunikasi.
Jika sabit kesalahan, pelaku berdepan denda dan hukuman penjara.
Pihak polis turut mengingatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial, terutama apabila melibatkan isu sensitif berkaitan agama, institusi diraja dan kaum.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R,” tegasnya.
Ringgit dibuka tinggi didorong jangkaan normalisasi OPR: Bernama
Johari: Kebergantungan pekerja asing perlu dikurangkan segera
Dana Inovasi Media bantu industri hadapi era AI, lindungi pekerja
Utusan Malaysia, Kosmo! rombak operasi, hampir 100 pekerja bercuti berbayar
Polis siasat wanita didakwa kasari dua kanak-kanak di pusat beli-belah: Bernama
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum