Pilihan Raya Negeri Melaka.
Polis Melaka mengeluarkan 29 permit ceramah politik sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula Sabtu lalu, dengan tiada laporan berkaitan kacau ganggu diterima setakat ini.
Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar berkata, daripada jumlah itu, Melaka Tengah merekodkan permit ceramah tertinggi sebanyak 11, diikuti Alor Gajah dengan 10 permit dan Jasin sebanyak lapan permit.
Bagaimanapun, beliau berkata polis menerima satu laporan berkaitan perbuatan khianat terhadap bahan kempen sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau mengingatkan semua calon, parti politik dan penyokong supaya mematuhi undang-undang serta mengelakkan tindakan provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Saya ingin mengingatkan semua calon, parti politik dan penyokong supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengelakkan sebarang tindakan provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen,” katanya menurut laporan Bernama.
Dzulkhairi turut menasihatkan semua pihak supaya tidak memainkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) dalam ceramah atau bahan kempen bagi mengelakkan ketegangan serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Menurutnya, aspek keselamatan juga perlu diberi perhatian ketika memasang bahan kempen, terutama di persimpangan lampu isyarat dan laluan utama yang boleh mengganggu pandangan pengguna jalan raya.
Pemasangan bendera, poster, kain rentang dan bahan kempen lain perlu mematuhi peraturan pihak berkuasa serta tidak mengganggu kelancaran lalu lintas.
Selain itu, calon dan parti politik dilarang menggunakan rumah ibadat seperti masjid, gereja, kuil dan tokong untuk aktiviti kempen pilihan raya.
Larangan turut meliputi penggunaan premis, kenderaan atau alat komunikasi milik kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan kempen politik.
“Bangunan awam juga tidak dibenarkan digunakan sebagai tempat perhimpunan politik dan kempen tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi bangunan atau premis tersebut,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak menjalankan kempen secara matang, berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana aman serta terkawal.
CSA enam Ahli Parlimen Bersatu bukan keputusan PN: Takiyuddin
Isu jalan luar bandar: Zafrul sindir ada pihak guna cybertrooper Vietnam
Perpaduan Melayu-Islam UMNO-PAS hanya helah politik: Amanah Selangor
Isu KKDW terlebih belanja RM2.1 bilion: AMK Selangor persoal penjelasan SUA Zahid
BN-PN bergabung, DAP perlu bersedia hadapi cabaran besar: Loke
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum