Ketua DAPSY, Woo Kah Leong.
Festival muzik air seperti Rain Rave yang berlangsung baru-baru ini dilihat memberi nafas baharu kepada industri pelancongan negara, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Kebangsaan DAPSY Woo Kah Leong, berkata kejayaan penganjuran acara tersebut membuktikan potensi besar “ekonomi konsert” sebagai pemacu sektor pelancongan, terutama menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau menegaskan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu memanfaatkan momentum ini bagi menarik lebih banyak acara hiburan bertaraf antarabangsa ke negara ini.
“Malaysia masih mempunyai kelebihan tersendiri seperti kos penganjuran yang lebih rendah, kemudahan penginapan mampu milik dan kepelbagaian makanan yang menjadi tarikan utama pelancong,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, walaupun negara jiran seperti Singapura telah mendahului dalam mendapatkan persembahan eksklusif artis antarabangsa, Malaysia tetap berupaya bersaing dengan menawarkan pengalaman pelancongan yang unik dan inklusif.
Pada masa sama, Kah Leong mengkritik beberapa pemimpin pembangkang yang didakwanya tidak memberikan cadangan membina kepada industri pelancongan, sebaliknya mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej negara.
“Apa yang diperlukan ialah duta pelancongan yang mampu menarik kehadiran pelancong, bukannya pihak yang mengeluarkan kenyataan ekstrem sehingga menakutkan pengunjung asing,” katanya.
Beliau turut menyentuh kepentingan keterbukaan dan kepelbagaian budaya di Kuala Lumpur sebagai faktor utama yang menjadikan ibu negara itu destinasi pilihan pelancong.
“Kuala Lumpur dikenali sebagai bandar yang menerima kepelbagaian. Masyarakat pelbagai latar belakang hidup bersama dalam suasana harmoni, dan ini menjadi daya tarikan utama kepada pelancong,” ujarnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan industri pelancongan berasaskan acara dan hiburan bagi merangsang ekonomi tempatan, khususnya selepas sektor tersebut terjejas akibat pandemik Covid-19.
Dalam konteks itu, Kah Leong berkata penganjuran acara hiburan perlu terus disokong selagi tidak menjejaskan ketenteraman awam.
“Banyak perniagaan kecil berharap dapat memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk meningkatkan pendapatan.
“Usaha ini wajar disokong sepenuhnya kerana ia memberi manfaat kepada ekonomi dan komuniti setempat,” katanya.
Chegubard dipenjara empat bulan kes fitnah: Laporan
MCA tak hadir di pelancaran jentera BN Masjid Tanah, krisis kerusi belum reda?
Mahkamah dengar cabaran PN terhadap penggantungan RoS 7 Disember
Lima tahun dibicarakan, pendakwaan tutup kes terowong Guan Eng
PRN Melaka: PH sasar pertahan kerusi, intai peluang rampas baharu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum