Zahid sahkan MCA kekal bertanding PRN Melaka, calon dipilih kekal

October 27, 2026 · Politik

MCA akan kekal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan, manakala Barisan Nasional (BN) tidak akan menukar calon menjelang hari penamaan calon Sabtu ini.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata pertemuan antara Presiden MCA, Wee Ka Siong, Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir dan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh menunjukkan perkembangan positif dalam menyelesaikan isu pembahagian kerusi.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada Ab Rauf untuk mengumumkan keputusan rasmi hasil rundingan berkenaan.

“Saya tidak dapat mengumumkannya sehingga Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka yang telah saya beri mandat untuk membuat pengumumannya. Sila lakukan soalan susulan kepada beliau,” katanya Majlis Perasmian Penutup JELITA Open Day – 12 Hours Sprint Training di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, pada Isnin.

Sebelum ini, MCA menyuarakan bantahan terhadap tindakan mengumumkan calon BN tanpa rundingan dan persetujuan kepimpinan parti itu, terutama apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.

Wee menegaskan MCA tidak akan mengiktiraf calon parti itu yang diumumkan BN sekiranya tidak mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi MCA.

Bagaimanapun, BN pada Sabtu lalu mengumumkan calon bagi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk dua wakil MCA iaitu penyandang DUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem dan penyandang DUN Kelebang, Lim Ban Hong.

Dalam perkembangan sama, Zahid berkata ketidakpuasan hati sebahagian pengundi susulan perubahan calon di beberapa kawasan akan ditangani melalui perbincangan dalaman.

“Di mana-mana pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri, apatah lagi pilihan raya umum, memang ada permasalahan yang begini, bukan hanya kepada BN sahaja, tetapi berlaku juga kepada parti-parti gabungan yang lain,” katanya.

Beliau yakin penyelesaian terbaik boleh dicapai menerusi rundingan antara pihak berkaitan.

“Ini sesuatu yang lazim dan tidak ada sesuatu yang mustahil untuk kita cari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.

Zahid turut mengesahkan tiada pertukaran calon BN akan dibuat menjelang hari penamaan calon pada 31 Oktober ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian PRN Melaka pada 14 November, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.

Berita berkaitan
Bersatu masuk bertanding PRN Melaka, umum kerusi 29 Oktober
3 jam lalu· Politik
Surat pembubaran DUN Sarawak dihantar kepada SPR
3 jam lalu· Politik
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
20 jam lalu· Isu semasa
PRN Melaka: PKR mahu pembaharuan, beri ruang kepada generasi muda
20 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Kes tangkap basah: Nik Nazmi beri keterangan JAIS lebih empat jam
October 27, 2026 · Politik
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
3 jam lalu · Politik
NGO desak SPRM, AG jelaskan status siasatan RM1.1 bilion libat Rafizi
4 jam lalu · Politik
Khabar angin letak jawatan Menteri Besar, Ismail tampil beri penjelasan
4 jam lalu · Politik
Zahid nafi belanja KKDW terlebih RM2.1 bilion
20 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok