AI boleh lebarkan jurang antara negara kaya dan miskin: Fahmi

November 11, 2026 · Isu semasa

Kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) berisiko mewujudkan jurang kuasa pengkomputeran global yang lebih besar, sekali gus meningkatkan ketidaksamaan antara negara maju dan membangun, khususnya di rantau Selatan Global.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan semakin mendesak apabila negara-negara di seluruh dunia berlumba-lumba memanfaatkan teknologi AI, sedangkan akses kepada sumber pengkomputeran masih tidak seimbang.

Menurutnya, cabaran itu bukan lagi sekadar berkaitan jurang digital atau akses kepada Internet, sebaliknya turut melibatkan keupayaan sesebuah negara mendapatkan sumber pengkomputeran bagi membangunkan teknologi sendiri.

“Satu daripada mesej yang kami dengar amat menarik, kita bukan sahaja bercakap tentang jurang ketersambungan atau jurang digital. Ia kini benar-benar menjadi jurang pengkomputeran.

“Sekiranya banyak negara, terutamanya di Selatan Global, tidak bersaing seiring dan tiada mekanisme untuk kita mengimbanginya, maka kita akan melihat jurang semakin melebar antara mereka yang memilikinya dan mereka yang tidak,” katanya dalam temu bual di luar Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26).

Fahmi turut menegaskan keperluan kerajaan memastikan rangka kerja kawal selia bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, terutama AI yang berkembang pada kadar amat pantas.

Katanya, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara menggalakkan inovasi dengan menyediakan perlindungan sewajarnya kepada perniagaan, pasaran dan masyarakat.

“Kita tidak mahu menghentikan inovasi dan kemajuan teknologi, tetapi ia mesti seimbang,” katanya.

Beliau turut menyentuh perkembangan ‘agentic AI’ yang membolehkan sistem kecerdasan buatan melaksanakan tugasan dan membuat keputusan secara lebih autonomi.

Menurutnya, teknologi itu menawarkan peluang besar, namun pada masa sama menimbulkan persoalan mengenai batas penggunaan dan risiko yang perlu dikawal.

“Ketakutan terbesar dan peluang terbesar sebenarnya terletak pada apa yang boleh dilakukan oleh agentic AI, apa yang tidak sepatutnya dilakukan dan bagaimana kerajaan boleh memainkan peranan bersama industri untuk membina batasan bagi memastikan penggunaan teknologi AI memberi manfaat kepada manusia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Malaysia sedang berusaha mendapatkan pemilihan semula ke Majlis ITU bagi membolehkan negara terus menyumbang pengalaman dan pandangan dalam perbincangan telekomunikasi antarabangsa.

Malaysia yang menjadi anggota ITU sejak 1958 mempunyai pengalaman dalam bidang standard teknikal, kepercayaan digital dan saling kendali yang boleh dikongsi bersama negara anggota lain.

Penyertaan itu juga penting bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran landskap telekomunikasi global yang semakin kompleks.

Persidangan ITU PP-26 yang berlangsung di Qatar menghimpunkan wakil kerajaan, pengawal selia dan pemain industri telekomunikasi dari seluruh dunia bagi membincangkan hala tuju serta cabaran pembangunan teknologi komunikasi global.

Penganjuran persidangan itu serentak dengan Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026 turut membuka ruang kepada Malaysia meneroka teknologi baharu dan memperluas kerjasama dengan negara lain. – Bernama

Berita berkaitan
Bina tabiat digital sihat, jangan biar anak leka gajet: Fahmi
November 20, 2026· Isu semasa
Fahmi saran pengusaha perniagaan kemuka isu kepada kerajaan: Bernama
November 19, 2026· Isu semasa
Sistem Amaran Awal Nasional diuji 23 dan 29 November, Fahmi minta orang ramai bersedia
November 19, 2026· Isu semasa
Malaysia teguh pendirian sokong perdagangan terbuka: Anwar
November 19, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
11 jam lalu · Isu semasa
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
11 jam lalu · Isu semasa
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
11 jam lalu · Isu semasa
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
11 jam lalu · Isu semasa
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok