Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kerajaan menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) bagi memastikan platform media sosial tidak menjadi ruang selamat kepada penjenayah, khususnya yang menyasarkan kanak-kanak, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, usaha itu digerakkan selepas beliau menerima taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pertengahan tahun lalu mengenai penghijrahan besar-besaran penjenayah ke platform media sosial dan paling mengejutkan ialah peningkatan kes melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Bila PDRM bentangkan perkara ini, saya rasa sangat bertanggungjawab untuk pastikan internet jadi lebih selamat, terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga. Internet ada di mana-mana, tapi kalau tak selamat, masa depan kita akan jadi gelap,” katanya semasa wawancara dengan Agenda Daily.
Beliau menjelaskan pindaan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia, tidak mencukupi kerana hanya menyentuh kandungan yang dimuat naik individu, bukan peranan platform itu sendiri.
ONSA digubal bagi menutup kelompangan tersebut dan memastikan platform seperti Facebook, TikTok dan YouTube mematuhi undang-undang tempatan.
“Kalau platform itu membolehkan jenayah berlaku, mereka juga perlu bertanggungjawab. Kita tak mahu media sosial jadi sarang pedofil, penipu skim atau judi dalam talian,” katanya.
Fahmi turut mengimbas satu sesi taklimat khas kepada ahli Parlimen dan senator yang memaparkan rakaman jenayah seksual kanak-kanak yang disebarkan oleh pedofil. Katanya, suasana ketika itu sunyi dan penuh kejutan.
“Bila tengok sendiri bukti jenayah ini, kita sedar ia bukan teori atau cerita jauh. Ia benar-benar berlaku, dan kanak-kanak itu langsung tak faham apa yang sedang berlaku pada mereka,” ujarnya.
Beliau menyifatkan penjenayah seksual kanak-kanak sebagai golongan paling kejam kerana merosakkan masa depan mangsa.
Fahmi mendedahkan PDRM pernah menahan 31 pedofil berusia antara 12 hingga 71 tahun dan merampas lebih 880,000 fail berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.
“Itu baru puncak gunung ais. Banyak jenayah ini berlaku kerana platform media sosial membenarkannya,” katanya sambil merujuk kes kumpulan media sosial yang pernah menghimpunkan puluhan ribu pengikut sebelum ditutup.
Mengulas sama ada Malaysia terlambat menggubal undang-undang ini, Fahmi berkata langkah tersebut dibuat pada masa yang tepat.
“Kita bukan yang pertama, tapi kita juga bukan yang terakhir. Banyak negara baru mula laksanakan undang-undang serupa. Yang penting, kita bertindak sekarang,” katanya.
Hubungan diplomatik baik, politik stabil jamin bekalan tenaga: PMX
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
Kerajaan tak kompromi perangi rasuah, SPRM terus diperkasa
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi