Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan Siber NEXSEC2026.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempergiat usaha memperkukuh daya tahan siber negara menerusi kerjasama strategik, pembangunan bakat tempatan dan peningkatan keupayaan menghadapi ancaman digital yang semakin kompleks.
Usaha itu diterjemahkan menerusi penganjuran Persidangan dan Pameran Keselamatan Siber NEXSEC2026 yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Program berlangsung selama dua hari bermula 25 hingga 26 November itu menghimpunkan wakil kerajaan, agensi keselamatan, pemain industri, institusi pengajian tinggi serta wakil negara anggota ASEAN.
Bertemakan ‘Advancing Cyber Resilience Through Collaboration, Innovation and Talent’, NEXSEC2026 memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan operasi, inovasi teknologi dan pembangunan kepakaran dalam bidang keselamatan siber.
Antara pengisian utama termasuk pertandingan Capture the Flag (CTF), Simposium Perkongsian Teknologi, meja bulat Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO) serta pameran teknologi dan bakat.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi meningkatkan perkongsian maklumat ancaman siber, penyelarasan tindak balas dan pembangunan keupayaan kedua-dua agensi.
Kepentingan memperkukuh pertahanan digital negara turut diserlahkan menerusi laporan rasmi Global Anti-Scam Alliance (GASA) yang menganggarkan kerugian akibat penipuan di Malaysia mencecah RM19.7 bilion dalam tempoh setahun.
Angka itu menunjukkan betapa seriusnya ancaman penipuan dalam talian dan keperluan meningkatkan perlindungan pengguna.
MCMC dalam kenyataannya berkata perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum turut menuntut pendekatan lebih proaktif dalam menghadapi ancaman baharu.
“Usaha ini penting bagi melindungi rakyat, memperkukuh keyakinan terhadap perkhidmatan digital dan memastikan Malaysia bersedia menghadapi ancaman siber masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
MCMC menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kesiapsiagaan siber melalui kerjasama strategik, peningkatan keupayaan industri dan pembangunan kepakaran tempatan.
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
192,869 kes scam, lebih RM7 bilion wang rakyat lesap
Mahkamah larang pihak terlibat ulas kes Shuhaily
Dua lelaki gagal cabar keputusan kerajaan mansuh subsidi diesel
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib