Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kerajaan akan membentangkan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 di Dewan Rakyat tahun depan bagi memperjelaskan perbezaan antara pemberi maklumat tulen dan individu yang cuba menggunakan undang-undang itu untuk melindungi jenayah mereka.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pindaan berkenaan penting bagi menutup sebarang kelompongan yang boleh disalahgunakan, khususnya oleh perasuah atau penjenayah tegar yang mendakwa bekerjasama dengan pihak berkuasa semata-mata untuk mengelak tindakan undang-undang.
Menurut beliau, perlindungan tidak seharusnya diberikan secara membuta tuli sehingga penjenayah atau perasuah diangkat sebagai wira hanya kerana membuat pendedahan selepas melakukan kesalahan serius.
“Pemberi maklumat perlu dibezakan dengan jelas daripada penyamun atau perasuah tegar yang cuba bersembunyi atas nama whistleblower. Ini dua perkara yang mesti dibezakan dengan jelas,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali mengenai usaha kerajaan memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa serta ketirisan, termasuk dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Anwar menegaskan prinsip “tiada siapa kebal di sisi undang-undang” akan terus dilaksanakan tanpa kompromi, termasuk terhadap individu berpengaruh atau berkedudukan tinggi.
Pada masa sama, beliau mengakui wujud kecenderungan sesetengah pihak membela individu yang mengaku terlibat rasuah atas alasan kononnya membuat pendedahan.
Namun, katanya, perlindungan terhadap pemberi maklumat tulen kekal terjamin, termasuk aspek keselamatan diri dan keluarga mereka, selaras dengan usaha menggalakkan budaya berani melapor.
“Melindungi pemberi maklumat bukan sekadar tidak mengambil tindakan terhadap mereka, tetapi memastikan keselamatan mereka dan keluarga supaya tidak dizalimi oleh penjenayah,” katanya.
Menurut Anwar, menteri berkaitan sedang meneliti pindaan itu dan kerajaan bersedia membentangkannya pada awal tahun depan bagi menetapkan definisi, kaedah dan mekanisme yang lebih jelas agar perlindungan tersebut tidak disalahgunakan.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata integriti menjadi asas kejayaan penguatkuasaan undang-undang sehingga kerajaan berjaya merekodkan nilai rampasan, lucut hak dan kutipan penalti berjumlah RM15.5 bilion.
“Ini kali pertama dalam sejarah negara. Mana mungkin kita mampu mengutip RM15.5 bilion jika sebelum ini tiada kelonggaran dan kelompongan,” katanya.
Daripada jumlah itu, SPRM merekodkan lucut hak melebihi RM8 bilion, PDRM hampir RM4 bilion, Jabatan Kastam Diraja Malaysia lebih RM2.5 bilion, manakala KPDN dan MyCC mencatat sekitar RM1 bilion.
Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan penguatkuasaan semakin berkesan, sambil mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.
AI hanya alat, bukan pengganti pengkarya: Fahmi
MP DAP gesa tindakan tegas berhubung isu hina simbol agama
Malaysia pantau konflik Asia Barat, nilai kesan terhadap ekonomi: Akmal Nasrullah
27 barangan dikawal sempena Aidilfitri
Mufti Perlis bimbang pengaruh gerakan Hindutva menular, punca provokasi kaum
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan