AMK harap isu kenaikan elektrik diselesaikan segera, TNB perlu peka

September 17, 2026 · Isu semasa

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan mempercepatkan langkah penyelesaian berhubung peningkatan bil elektrik yang didakwa menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna ketika ini.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata tindakan segera diperlukan bagi memastikan pengguna yang terkesan mendapat kelegaan, susulan perubahan kadar bayaran elektrik yang dikenakan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sudah mengambil maklum mengenai perkara itu dan dijangka mengadakan perbincangan khusus membabitkan TNB serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

“Kita berharap akan ada tindakan susulan yang dapat meringankan dan memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan dengan pendekatan caj elektrik ketika ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Peruntukan Perdana Menteri kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perak di Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta, Tanjung Rambutan, hari ini.

Sebanyak RM117,000 disalurkan kepada 10 NGO dalam program itu, antaranya Persatuan Penganut Sri Muniswarar, Persatuan Kebajikan Komuniti Penyanyang Kuala Kangsar, Surau Kampung Sayong Hilir, Kelab Muda Mudi Inspirasi Ulu Kinta dan Pertubuhan Proaktif Rakyat Parlimen Tambun.

Muhammad Kamil berkata, walaupun mekanisme sedia ada dilihat mampu membantu mengawal kos elektrik, faktor seperti cuaca panas dan jerebu juga berkemungkinan mendorong peningkatan penggunaan elektrik oleh pengguna.

“Insya-ALLAH kita nantikan sebarang pengumuman atau langkah susulan kerajaan bagi meringankan beban rakyat.

“Kerajaan hari ini sentiasa mendengar keluhan serta permasalahan yang dibangkitkan oleh rakyat,” katanya.

Sebelum ini, TNB menjelaskan Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) tidak menyebabkan peningkatan mendadak bil elektrik pengguna.

TNB turut menjelaskan perubahan jumlah bil bulanan lebih banyak dipengaruhi corak penggunaan elektrik, termasuk ketika musim perayaan, cuti sekolah serta amalan bekerja dari rumah.

AFA yang diperkenalkan pada 1 Julai 2025 bagi menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) juga bukan caj tambahan baharu dan tidak menyalurkan keuntungan kepada syarikat utiliti berkenaan.

Isu bil elektrik menjadi perhatian selepas sebahagian pengguna melaporkan peningkatan jumlah bayaran, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai faktor yang mempengaruhi kadar bil bulanan.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, penyertaan Anwar dalam Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi, India memberikan manfaat melalui beberapa pertemuan dua hala bersama pemimpin dunia.

Katanya, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Presiden Iran serta beberapa pemimpin negara lain sepanjang lawatan berkenaan.

“Ini menunjukkan komitmen serta pengiktirafan negara-negara besar terhadap kedudukan Malaysia yang dilihat mempunyai potensi besar di peringkat antarabangsa,” katanya.

Berita berkaitan
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
September 18, 2026· Isu semasa
AMK: Pengampunan tidak padam rekod 1MDB yang pernah disakau Najib
September 18, 2026· Politik
Subsidi bil elektrik: Had perlindungan naik kepada 800 kWj, kurangkan beban kenaikan
September 17, 2026· Isu semasa
AMK: MB, Exco digesa letak jawatan kerana derhaka terhadap Yang di-Pertuan Besar
September 17, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
6 jam lalu · Isu semasa
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
September 19, 2026 · Isu semasa
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
September 18, 2026 · Isu semasa
Zamri Vinoth kekal berdepan pertuduhan, perbicaraan April tahun depan
September 18, 2026 · Isu semasa
AGC: Proklamasi 19 April turunkan Tuanku Muhriz tidak sah
September 17, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok