AMK Jelebu dakwa Jalaludin punca Negeri Sembilan terpaksa hadapi PRN

July 24, 2026 · Politik

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Jelebu mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung ketika ini bukan tercetus atas kehendak rakyat, sebaliknya berpunca daripada perebutan kuasa melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Jalaluddin Alias.

Ketua AMK Jelebu, Haqqim Nazaruddin berkata Jalaluddin perlu bertanggungjawab terhadap kemelut politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), susulan tindakannya yang didakwa lebih mengutamakan cita-cita menjadi Menteri Besar berbanding memastikan kestabilan pentadbiran negeri.

Menurutnya, krisis membabitkan institusi adat yang berlaku sebelum ini sepatutnya diselesaikan menerusi saluran dan mekanisme sedia ada mengikut adat serta undang-undang, bukannya dipolitikkan sehingga mencetuskan ketegangan.

“PRN Negeri Sembilan bukan berlaku kerana rakyat mahukan pilihan raya, tetapi berpunca daripada kerakusan politik segelintir pemimpin yang lebih mengutamakan cita-cita peribadi berbanding kestabilan negeri.

“Jalaluddin dilihat lebih ghairah mengejar jawatan Menteri Besar daripada memastikan pentadbiran negeri terus stabil demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Haqqim mendakwa kemelut politik itu turut memberi kesan kepada tumpuan kerajaan negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan, termasuk memperkukuh ekonomi, menangani kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, Negeri Sembilan memerlukan seorang pemimpin yang mampu menyatukan rakyat, menghormati institusi, menjamin kestabilan pentadbiran serta memiliki rekod perkhidmatan yang terbukti.

Beliau turut mempersoalkan keputusan BN menampilkan Jalaluddin sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu benar-benar mahu menawarkan kepimpinan baharu kepada rakyat.

“Jika BN benar-benar serius mahu menawarkan kepimpinan baharu kepada rakyat Negeri Sembilan, parti itu seharusnya mengetengahkan calon Menteri Besar yang lebih berwibawa, berintegriti dan benar-benar bersedia berkhidmat, bukannya seorang pemimpin yang dikaitkan dengan episod ketidakstabilan politik negeri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi membuat pilihan berdasarkan keperluan mengekalkan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri, bukannya dipengaruhi perebutan kuasa.

Haqqim turut memuji pentadbiran Menteri Besar, Aminuddin Harun yang disifatkannya berjaya mengekalkan kestabilan politik serta meneruskan dasar pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, masa depan Negeri Sembilan perlu ditentukan oleh kepimpinan yang mengutamakan khidmat kepada rakyat dan bukannya kepentingan individu.

PRN Negeri Sembilan diadakan susulan krisis politik yang menyaksikan pembubaran DUN lebih awal.

Berita berkaitan
Kes pengisytiharan harta: Ismail Sabri akan didakwa esok
5 jam lalu· Politik
Aziz Bari gesa UMNO, PAS henti pertikai RCI Tabung Haji
9 jam lalu· Politik
Peja: Bersatu tak mampu bergerak solo di Melaka
11 jam lalu· Politik
KJ mohon mahkamah dedah siapa di sebalik artikel fitnah
11 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Anwar: Kebebasan mahasiswa mesti diberi sepenuhnya
August 26, 2026 · Politik
Mahkamah kekal keputusan, Ketua Menteri P. Pinang menang kes saman fitnah
8 jam lalu · Politik
RCI Tabung Haji: Kerajaan tidak akan kompromi dan tindakan tegas diambil
8 jam lalu · Politik
Dedah semua, jangan pilih-pilih laporan RCI TH demi kepentingan politik: AMK
11 jam lalu · Politik
Jangan ulang RCI hanya kerana tak suka keputusan: Mahfuz
12 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok