Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) sudah mengenal pasti beberapa calon berpotensi untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung bulan depan.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata senarai nama calon yang dikenal pasti itu telah dihantar kepada jawatankuasa pemilihan calon parti untuk melalui proses penilaian sebelum keputusan muktamad dibuat.
Menurut beliau, komposisi pengundi semasa yang didominasi golongan muda dan pertengahan umur menjadi antara faktor penting yang perlu diberi perhatian dalam menentukan calon yang bakal bertanding.
“Kita menyedari hakikat bahawa pada pilihan raya kali ini, kira-kira 50 hingga 55 peratus pengundi adalah mereka yang berumur 45 tahun ke bawah. Jadi, faktor ini penting sebagai pertimbangan dalam usaha mengukuhkan sokongan dan meyakinkan pengundi untuk bersama kita,” katanya dipetik laporan media.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Anwar menjelaskan pemilihan calon muda tidak hanya bersandarkan faktor usia semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kelayakan, keupayaan serta kemampuan seseorang untuk mentadbir dan berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, AMK mahu memastikan calon yang diketengahkan bukan sahaja mampu menarik sokongan pengundi muda, malah mempunyai kredibiliti untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan jentera AMK di seluruh negara telah diarahkan untuk turun padang bagi membantu kempen Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi kedua-dua PRN berkenaan.
Langkah itu, katanya, penting bagi memperkukuhkan gerak kerja parti dan memastikan jentera akar umbi bersedia sepenuhnya menjelang hari pengundian.
PRN Johor dan Negeri Sembilan menjadi antara tumpuan politik negara susulan tamatnya tempoh penggal pentadbiran kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 11 Julai manakala Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
PRN N9: PH ikrar teruskan dasar beri manfaat kepada rakyat
Malaysia kekal tegas, tidak tunduk desakan Ahli Kongres AS: Loke
PRN NS: Anwar titip pantun, seru kekal bersahabat walau bertanding
Aminuddin serah kepada rakyat nilai sikap BN
Jangan angkuh, UMNO perlu sedar kedudukan sendiri
[VIDEO] Syarikat telco bocor data Khairul Aming merisaukan, Fahmi arah MCMC dapatkan laporan penuh
[VIDEO] PH sudah buktikan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan, PRN ini teruskan kerajaan yang stabil