Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching melancarkan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Johor di Dewan Serbaguna Sri Tebrau hari ini.
Sebanyak 5,944 laporan polis berkaitan penipuan dalam talian direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, menunjukkan ancaman scam semakin membimbangkan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, data Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) itu menunjukkan penipuan e-dagang mencatat jumlah tertinggi dengan 2,566 kes, diikuti penipuan telekomunikasi sebanyak 1,369 kes.
“Ancaman scam kini berada pada tahap yang amat membimbangkan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Johor di Dewan Serbaguna Sri Tebrau, hari ini.
Menurutnya, kes penipuan lain turut melibatkan pinjaman tidak wujud, pelaburan palsu dan penipuan e-kewangan.
Nie Ching berkata, dari sudut perundangan, Malaysia sudah mempunyai kerangka kukuh untuk menangani jenayah dalam talian selepas pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada Disember 2024 serta penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) mulai 1 Januari lalu.
Katanya, kerajaan turut memperkukuh kawal selia platform digital menerusi Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC).
“Cabaran utamanya ialah sejauh mana platform-platform ini mahu memberi kerjasama dan mematuhi undang-undang kita,” katanya.
Pada masa sama, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan inisiatif ‘Tunggu16’ bagi memperkukuh kawalan ibu bapa terhadap penggunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 16 tahun.
Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan sejak Januari 2025 pula mencatat 13,450 program di seluruh negara sehingga 31 Julai lalu, dengan penyertaan 2,190,104 orang termasuk murid, guru, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan.
Nie Ching berkata, walaupun kerajaan terus memperkukuh undang-undang dan sistem keselamatan digital, keluarga dan sekolah kekal menjadi benteng utama dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman siber.
“Ibu bapa tidak perlu menjadi pakar IT untuk melindungi anak-anak. Cukuplah menjadi pendengar yang peka dan hadir dalam kehidupan digital mereka,” katanya.
Beliau berkata pendekatan terhadap keselamatan digital juga perlu beralih daripada sekadar melarang kepada mendidik dan membimbing supaya generasi muda mampu menilai risiko serta membuat keputusan dengan lebih bijak.
Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 di Johor merupakan lokasi keempat siri penganjuran berkenaan selepas program itu akan diteruskan di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.
Usaha itu turut menekankan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam menyampaikan kesedaran keselamatan internet secara lebih dekat kepada ibu bapa, murid dan komuniti.
Insiden bom Selatan Thailand, rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan
Kos sara hidup, pelaburan jadi fokus Belanjawan 2027: Fahmi
Mekanisme subsidi diesel bakal ditambah baik: Armizan
Anwar, Abang Johari dan Hajiji bincang persiapan MA63
Polis rakam keterangan Hadi, telefon pentadbir Facebook diambil: Laporan
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri