Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima berita pemergian abang tercinta, Idrus. Foto Kredit: PMO
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima berita pemergian abangnya, Idrus Ibrahim, ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia.
Anwar menerusi kenyataan di media sosial meluahkan rasa dukacita dan terkilan kerana tidak sempat berada di sisi Allahyarham pada saat-saat terakhir.
“Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, saya menerima khabar yang meruntun jiwa bahawa abang saya, Idrus Ibrahim, telah pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Menurut Anwar, pemergian Idrus meninggalkan kehilangan besar kerana Allahyarham merupakan sosok yang berkongsi banyak kenangan sepanjang perjalanan hidupnya.
“Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada, dan hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini,” katanya.
Anwar turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak berkesempatan berada di sisi Allahyarham pada penghujung hayatnya, namun menerima pemergian itu dengan reda.
“Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi,” katanya.
Beliau turut mengenang segala kebaikan dan kenangan yang ditinggalkan Allahyarham, sambil menyifatkan semuanya akan terus terpahat dalam ingatan keluarganya.
“Terima kasih atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan dan semuanya akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati kami,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar memohon orang ramai menitipkan doa buat Allahyarham Idrus agar segala kesalahan beliau diampunkan serta ditempatkan bersama golongan beriman dan beramal soleh.
“Mohon teman-teman titipkan doa buat Allahyarham Idrus Ibrahim, semoga Allah SWT mengampuni segala khilafnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Anwar mengakhiri kenyataan dengan ucapan “Al-Fatihah” buat Allahyarham.
Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 5.7 peratus tahun ini: Firma
Bekas COO Tabung Haji didakwa terima kos ubah suai RM302,499: Bernama
Malaysia terus terbuka pelaburan teknologi China: Anwar
Eksploitasi seksual kanak-kanak: MCMC, PDRM tingkat kerjasama
JPJ nafi hantaran tular berkait lesen kepada Rohingya, buat laporan MCMC: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum