Anwar hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini. - Foto Kredit PMO
Anwar Ibrahim memuji keberkesanan Kementerian Komunikasi dalam menjelaskan pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang menurutnya menjadi antara contoh terbaik komunikasi kerajaan dalam menerangkan sesuatu dasar kepada rakyat.
Perdana Menteri berkata, penerangan yang jelas dan menyeluruh mengenai inisiatif berkenaan berjaya meningkatkan kefahaman rakyat sekali gus mengurangkan kekeliruan yang sering timbul apabila dasar baharu diperkenalkan.
Menurut Anwar, kejayaan pelaksanaan BUDI95 membuktikan strategi komunikasi yang berkesan mampu membantu rakyat memahami tujuan sesuatu dasar serta menerima pelaksanaannya dengan lebih baik.
“Keberhasilan terbesar saya fikir oleh kementerian ini adalah dalam soal BUDI95. Apabila diberikan penerangan yang lebih jelas, ia tidak menimbulkan banyak masalah.
“Saya ucap tahniah kepada Fahmi, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah dan seluruh warga kementerian kerana kegigihan mereka menyampaikan maklumat dengan baik kepada rakyat,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching serta Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun masih terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan pelaksanaan dan kesan inisiatif berkenaan terhadap harga bahan api, pendekatan komunikasi yang digunakan kerajaan berjaya mengurangkan salah faham dalam kalangan rakyat.
Katanya, penerimaan yang lebih baik terhadap BUDI95 menunjukkan pentingnya usaha berterusan untuk memberikan maklumat yang tepat, mudah difahami dan sampai kepada kumpulan sasaran.
BUDI95 merupakan inisiatif di bawah Kerajaan MADANI yang bertujuan memastikan subsidi petrol RON95 disalurkan secara lebih bersasar kepada rakyat Malaysia yang layak.
Melalui mekanisme tersebut, penerima yang memenuhi syarat akan terus menikmati petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.
Sebelum ini, kerajaan menjelaskan penyasaran subsidi bahan api dilaksanakan bagi mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan kerajaan dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan, selaras dengan usaha memperkukuhkan kedudukan fiskal negara.
Anwar berkata, pengalaman pelaksanaan BUDI95 boleh dijadikan rujukan dalam memperkenalkan dasar-dasar baharu pada masa hadapan, khususnya yang melibatkan perubahan besar dan memberi kesan langsung kepada rakyat.
Harga petrol tanpa subsidi naik 5 sen
Dua pembantu Najib diperintah bayar RM483,000 kepada pendakwah bebas
RCI Tabung Haji: SPRM tahan bekas pengerusi TH, bekas KSU Perbendaharaan
KJ mohon mahkamah dedah siapa di sebalik artikel fitnah
Pendakwah terkenal didakwa seleweng dana NGO RM13 juta
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri