Anwar berucap pada Sambutan Hari Deepavali 2026 Peringkat Kebangsaan di Little India, Brickfields, hari ini.
Anwar Ibrahim menegaskan tidak akan tunduk kepada desakan pihak tertentu yang mahu dasar negara diubah berasaskan dominasi kaum semata-mata untuk mempertahankan kelangsungan politik.
Perdana Menteri berkata beliau tetap berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Pada masa sama, beliau menegaskan tanggungjawab kerajaan adalah memastikan keadilan, kesejahteraan dan kebahagiaan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Menurutnya, terdapat pihak yang mendesak beliau mengutamakan dominasi Melayu dalam dasar negara dengan alasan pendekatan itu penting untuk memastikan kelangsungan politik.
“Sekarang ini kalau pergi mana-mana, orang kata: Anwar, kamu perlu menyesuaikan dasar dengan mengutamakan orang Melayu dan dominasi Melayu. Jika tidak, kamu tidak akan dapat bertahan dalam politik.
“Saya jawab: Saya mahu terus bertahan sebagai pemimpin Malaysia yang mencintai negara ini. Saya mahu pertahankan prinsip-prinsip negara kita, Perlembagaan kita,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Deepavali 2026 Peringkat Kebangsaan di Little India, Brickfields, hari ini.
Anwar turut mengkritik pihak tertentu yang menjadikan isu kelangsungan kaum sebagai modal politik, sedangkan perjuangan sebenar mereka didakwa lebih menjurus kepada kepentingan peribadi dan keluarga.
“Lihat tokoh-tokoh yang bicara soal survival kaum. Mereka itu antara yang paling kaya dalam kalangan kita. Perjuangan itu perjuangan untuk memperkayakan diri mereka dan keluarga mereka,” katanya.
Beliau turut menyelar tindakan segelintir persatuan dan parti politik yang didakwa sengaja memainkan sentimen perkauman bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu penipuan dan rasuah.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru rakyat supaya mempertahankan nilai kemanusiaan, keadilan dan perpaduan sebagai asas kekuatan Malaysia.
Katanya, mesej Deepavali yang membawa makna kemenangan cahaya mengatasi kegelapan bukan sekadar perlu dihayati masyarakat India, sebaliknya relevan kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Beliau turut merujuk kepada ajaran pelbagai agama dan karya klasik Tamil, Tirukkural, yang menekankan nilai moral, keadilan, kemanusiaan serta hubungan baik sesama manusia.
“Di sini, di Malaysia, kita saling menghormati meskipun berbeza agama, budaya, bahasa asal dan keturunan. Tetapi kita ada kemanusiaan. Kita saling hormat, menghargai antara satu sama lain.
“Begitulah Malaysia yang seharusnya, yang mesti terus kekal dan mencapai kejayaan sebagai sebuah negara,” katanya.
Sambutan itu turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta beberapa pemimpin kerajaan dan wakil masyarakat India.
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Ismail Lasim dirawat di hospital, keadaan semakin pulih: Bernama
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
Konvensyen Amanah lulus usul bantah tahanan rumah Najib
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan