Lawatan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim ke Kenya. Kredit gambar: PMO
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah diberikan sambutan rasmi yang penuh istiadat, termasuk 19 das tembakan meriam, di halaman Istana Negara Kenya semalam.
Sambutan gilang-gemilang itu menandakan permulaan lawatan beliau ke kediaman rasmi Presiden Kenya, William Samoei Ruto.
Ketibaan Perdana Menteri disambut sendiri oleh Presiden Ruto sebelum diperkenalkan kepada pucuk pimpinan tertinggi angkatan tentera Kenya.
Istiadat tersebut diteruskan dengan persembahan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ diikuti oleh lagu kebangsaan Kenya, menambah suasana yang penuh hormat dan muhibah.
Turut mengiringi PM Anwar ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa.
Sejurus selepas upacara, Perdana Menteri menandatangani buku tetamu Istana Negara sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Ruto bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
Kenya, yang terletak di Afrika Timur, bersempadan dengan Sudan Selatan di barat laut, Ethiopia di utara, Somalia di timur, Lautan Hindi di tenggara, Tanzania di barat daya, serta Tasik Victoria dan Uganda di bahagian barat.
Pada 2024, Kenya merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika dengan jumlah perdagangan mencecah RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.
Lawatan ini menandakan penutup lawatan rasmi Perdana Menteri ke tiga negara Afrika.
Beliau dijadual berlepas pulang ke Malaysia dari Nairobi pada hari ini.
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
Pegawai IT lesap RM20,000 ditipu tawaran ‘cash out’ BNPL
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum