Menteri Agama, Dr Mohd Na'im Mokhtar
Kerajaan Arab Saudi tidak memberi Malaysia kuota tambahan haji pada musim haji 1446H/2025, kata Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata bukan sahaja Malaysia tidak menerima kuota tambahan, malah terdapat juga negara lain yang tidak diberikan dan menjelaskan tiada kuota rasmi haji Malaysia yang tidak digunakan bagi 2020 hingga tahun ini.
“Kuota haji rasmi tahunan yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600.
“Ia ditetapkan berdasarkan keputusan persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) yang menetapkan 0.1 peratus daripada jumlah penduduk Islam sesebuah negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang mencadangkan kerajaan memberikan kuota tambahan Haji kepada ejen pelancongan sah daripada berlalu begitu sahaja.
Pada masa sama, Mohd Na’im berkata, antara faktor agihan keuntungan sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024 iaitu yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun adalah disebabkan penolakan bantuan haji oleh jemaah.
Beliau berkata, bagi tahun lalu seramai 263 jemaah menolak bantuan subsidi secara sukarela, manakala bagi 2023 ialah 396.
“Akibat itu, kita menerima dividen agak tinggi untuk tahun lepas, hasil daripada jumlah keuntungan diterima bersama penolakan bantuan haji,” katanya.
Berhubung soalan tambahan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang mahu ejen haram menipu tawaran pakej haji sehingga menyebabkan 47 jemaah terkandas, baru-baru ini, dihalang, Mohd Na’im berkata, kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), TH dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi tujuan itu.
Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu adalah bagi menghalang mana-mana syarikat atau pihak untuk membawa umat Islam menunaikan haji tanpa permit.
Selain itu, pihaknya turut membincangkan jalan terbaik terhadap cadangan supaya hal berkaitan umrah diletakkan di bawah TH, berbanding MOTAC kini namun beliau tidak melihat ia sebagai isu.
“Usaha memberikan penjelasan kepada umat Islam mengenai kepentingan untuk mendapatkan permit sah sebelum menunaikan haji adalah berterusan sampai ke khutbah Jumaat.
“Sekiranya ada maklumat diterima, kita boleh halang tetapi mengenai isu 47 jemaah itu, kita tidak boleh halang kalau mereka hendak bergerak ke negara lain.
“Kumpulan itu seolah-olah hendak bercuti ke Turkiye ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dari situ bergerak ke Makkah untuk menunaikan Haji,” katanya.
Kerajaan cari jalan bantu syarikat media bertahan: Fahmi
Gagal tangani akaun palsu kerabat diraja, kerajaan teliti tindakan terhadap Meta: Fahmi
Fahmi santuni bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini, serah sumbangan HAWANA
Transformasi AI dan digital perlu sampai ke kampung: PMX
Bekalan minyak negara kembali stabil, PETRONAS ambil langkah proaktif: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan