1Malaysia Develoment Berhad (1MDB).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Amerika Syarikat (AS) telah memulangkan lebih USD1.37 bilion aset yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Malaysia setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, jumlah itu berdasarkan maklumat yang diterima daripada SPRM.
Menurutnya, proses mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB masih diteruskan memandangkan masih terdapat wang dan pelbagai aset yang dikaitkan dengan dana itu sedang ditahan, dibekukan atau melalui prosiding pelucuthakan di AS serta beberapa negara lain.
“Selain aset yang telah dipulangkan, masih terdapat sejumlah wang dan aset dikaitkan dengan dana 1MDB sedang ditahan, dibekukan atau tertakluk kepada prosiding pelucuthakan di AS serta beberapa bidang kuasa asing lain,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah wang dan aset hasil penyelewengan 1MDB yang telah dipulangkan oleh AS kepada Malaysia serta baki aset yang masih ditahan di negara itu dan negara lain.
Mengulas mengenai nilai sebenar aset yang masih dibekukan atau dalam proses pelucuthakan, Azalina berkata angka tepat tidak dapat dipastikan pada masa ini.
Katanya, jumlah tersebut bergantung kepada perkembangan prosiding undang-undang yang masih berjalan di beberapa negara selain perubahan nilai pasaran aset terbabit dari semasa ke semasa.
Isu 1MDB menjadi antara skandal kewangan terbesar negara selepas pelbagai siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa di Malaysia dan beberapa negara termasuk AS, Switzerland serta Singapura. Siasatan mendapati sejumlah dana dipercayai diseleweng dan digunakan untuk membeli aset mewah, hartanah, karya seni, kapal layar serta membiayai pelbagai perbelanjaan lain.
Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan Malaysia melalui SPRM dan agensi berkaitan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa luar negara bagi mengesan, membekukan dan membawa pulang aset yang dipercayai diperoleh daripada dana yang diseleweng dalam skandal 1MDB.
Usaha pemulangan aset itu dilihat penting bagi memastikan wang yang menjadi hak rakyat dapat dikembalikan kepada negara, walaupun proses berkenaan mengambil masa kerana melibatkan pelbagai bidang kuasa dan prosiding undang-undang antarabangsa.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum