Ketua Pengarah RTM, Ashwad Ismail dan penyanyi kelahiran Merlimau, Ziana Zain.
Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ashwad Ismail dan penyanyi kelahiran Merlimau, Ziana Zain antara penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.
Pengiktirafan itu diberikan bersama 189 penerima DPSM lain sebagai penghargaan terhadap sumbangan serta khidmat bakti mereka dalam pelbagai bidang, termasuk penyiaran, seni dan kemasyarakatan.
Ziana Zain, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, merupakan anak kelahiran Merlimau, Jasin dan antara tokoh seni yang mengharumkan nama Melaka menerusi kerjaya muziknya sejak beberapa dekad lalu.
Ashwad pula menerima pengiktirafan atas sumbangannya dalam bidang penyiaran dan perkhidmatan awam, khususnya menerusi peranan di RTM.
Dalam istiadat sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengetuai senarai penerima darjah kebesaran negeri apabila dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima DGSM ialah Hakim Besar Malaya, Hashim Hamzah; Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd Halim Aman; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Muhamad Norazlan Aris; Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream PETRONAS, Sazali Hamzah serta Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Megat Zulkarnain Omardin.
Seramai 56 penerima pula dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) membawa gelaran Datuk Wira, manakala 14 individu menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) membawa gelaran Datuk.
Antara penerima DCSM ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Mohd Sumali Reduan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Mohd Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar.
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Salhah Salleh, berkata penganugerahan itu mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap individu yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negeri.
“Penganugerahan ini mencerminkan penghargaan negeri terhadap individu yang memberikan khidmat, sumbangan dan bakti dalam pelbagai bidang,” katanya.
Secara keseluruhan, seramai 1,328 penerima menerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka tahun ini.
Istiadat penganugerahan dilaksanakan dalam tiga sesi bermula hari ini dan diteruskan pada Rabu, dengan penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang majlis.
Mahkamah tolak permohonan lucut hak wang RM21.1 juta Aman Palestin
Menara FINAS buka era baharu industri filem: Fahmi
Ringgit terus mengukuh, data ekonomi jadi pemangkin
JMF buat penampilan sulung, meriahkan Hari Kebangsaan: Fahmi
Lapan termasuk pempengaruh direman kes tutup lebuh raya untuk lumba haram
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri