Najib Razak.
Peguam yang mewakili Najib Razak, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan belum menerima sebarang arahan daripada anak guamnya berhubung pembayaran denda RM50 juta yang dikaitkan dengan pelaksanaan baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Kehadiran Muhammad Farhan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini mencetuskan spekulasi kemungkinan pembayaran denda berkenaan akan dilakukan, susulan laporan sebelum ini mendakwa wakil bekas Perdana Menteri itu dijangka menyelesaikan bayaran berkenaan.
Bagaimanapun, Muhammad Farhan menafikan mempunyai maklumat mengenai perkara itu, malah menjelaskan kehadirannya di kompleks mahkamah berkenaan adalah atas urusan lain.
Beliau berkata, banyak pihak menghubunginya bagi mendapatkan penjelasan susulan laporan mengenai kemungkinan pembayaran denda berkenaan.
“Saya tiada sebarang arahan dan tidak pasti mengenai status semasa. Saya tiada menerima sebarang arahan berhubung denda itu.
“Saya memang tiada maklumat. Jika ada pihak ketiga yang mahu membuat pembayaran itu sekalipun, sepatutnya saya dimaklumkan,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai sama ada pembayaran RM50 juta itu akan dibuat hari ini, termasuk pihak yang bertanggungjawab melunaskan denda berkenaan.
Beberapa petugas media turut dilihat berkumpul di lobi kompleks mahkamah bagi mengikuti perkembangan perkara itu, namun mereka tidak dibenarkan memasuki kawasan kaunter pembayaran. Anggota polis juga ditempatkan di sekitar lobi berkenaan.
Sebelum ini, Najib dilaporkan akan membayar denda RM50 juta sebagai sebahagian daripada syarat berkaitan pelaksanaan baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Pada 18 September lalu, Najib dilaporkan menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Najib, 73, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perkembangan pembayaran denda RM50 juta itu kini menjadi perhatian berikutan kaitannya dengan pelaksanaan syarat pengampunan bersyarat yang diterima bekas Perdana Menteri berkenaan.
Zaliha cabar PAS bahas kandungan CSA, bukan main sentimen agama
CSA bukan Dajal ketika PAS berkuasa, Mahfuz bidas Hadi
Ibu Nizar Najib kritikal, mohon doa orang ramai
PAS dulu terima MoU, sekarang CSA pula dikaitkan dengan Dajal: Kamil
CSA: Azalina tegur Hadi, istilah Dajal keterlaluan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum