Dr Zaliha Mustafa.
Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) mencabar PAS supaya membahaskan kandungan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) secara terbuka, bukannya menggunakan sentimen agama untuk mempertikaikan perjanjian berkenaan.
Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa, mempersoalkan pendirian PAS yang didakwa berubah mengikut kedudukan parti itu sama ada ketika berada dalam kerajaan atau sebagai pembangkang.
Beliau berkata, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang perlu menjelaskan mengapa pendekatan kerjasama politik yang hampir sama pernah disambut baik parti itu pada 2021, tetapi kini dilabel sebagai pendekatan ‘dajal’.
“Ketika PAS berada dalam kerajaan, Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man menyambut baik memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH), malah menyifatkannya sebagai sejarah baharu politik negara.
“Jadi, apa yang berubah? Prinsip PAS atau kedudukan PAS dalam politik? Kalau ada perkara yang tidak dipersetujui dalam CSA, bahaskan kandungannya. Tidak perlulah menggunakan sentimen agama untuk menghalalkan pendirian politik yang berubah-ubah,” katanya kepada menurut laporan FMT.
Zaliha berkata, CSA merupakan satu langkah untuk membina kestabilan politik selain memastikan kebajikan rakyat terus diberikan perhatian tanpa mengira kawasan Parlimen diwakili kerajaan atau pembangkang.
Sebagai pengerusi BBC, beliau melihat perjanjian itu sebagai ruang untuk memastikan kepentingan rakyat tidak diketepikan akibat perbezaan politik.
“Jangan apabila berada dalam kerajaan, namanya politik matang. Apabila menjadi pembangkang, pendekatan yang sama dilabel pula sebagai dajal,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin turut mempersoalkan kewajaran penggunaan istilah sedemikian dalam perbahasan politik.
“Komen saya, siapa dajal? Persoalan saya, adakah waras atau wajar pemimpin yang mengeluarkan kenyataan seperti itu, yang suka lupa atau lupa diri,” katanya.
Untuk rekod, CSA ditandatangani Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bersama lima Ahli Parlimen parti itu serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada MUDA.
Perjanjian itu membuka ruang kepada tujuh wakil rakyat berkenaan mendapatkan peruntukan pembangunan kawasan Parlimen, seperti yang dinikmati Ahli Parlimen kerajaan sepanjang empat tahun lalu.
Selain isu peruntukan, CSA turut menggariskan dua reformasi utama yang perlu dilaksanakan kerajaan sebagai sebahagian daripada persetujuan berkenaan, iaitu mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan memisahkan kuasa Peguam Negara daripada Pendakwa Raya sebelum tamat penggal Parlimen.
Perdebatan mengenai CSA kini turut mencetuskan persoalan mengenai konsistensi pendirian parti politik terhadap kerjasama antara kerajaan dan pembangkang, khususnya apabila pendekatan yang sama dinilai secara berbeza mengikut kedudukan politik.
Ibu Nizar Najib kritikal, mohon doa orang ramai
Asyraf Wajdi: Belum cukup dana untuk bayar denda Najib
Tarikh sidang DUN Negeri Sembilan belum dapat perkenan: Ismail Lasim
Spekulasi bayaran RM50 juta, peguam Najib tampil beri penjelasan
Jangan samakan CSA dengan Dajal, PAS dibidas guna agama serang lawan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum