Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Azam Baki menegaskan pelantikannya sebagai anggota Lembaga Penasihat Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, bukannya kerana jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, pelantikan itu dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan 2019 atau Akta 822, berdasarkan pengalaman selama 37 tahun dalam bidang penguatkuasaan.
“Saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bukan sebab jawatan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, tetapi kerana 37 tahun pengalaman dalam penguatkuasaan,” katanya.
Azam berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, berhubung kedudukannya dalam NFCC.
Hamzah sebelum ini mempersoalkan justifikasi pelantikan Azam sebagai penasihat NFCC, dengan mendakwa beliau pernah dikaitkan dengan beberapa isu termasuk dakwaan berkaitan pemilikan saham dan isu korporat.
Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan, turut menggesa kerajaan memberi penjelasan segera berhubung status pelantikan tersebut.
Bagaimanapun, Azam berkata pelantikan beliau bukan perkara baharu kerana pernah memegang jawatan sama dari Mac 2021 hingga Mac 2024 sebelum dilantik semula bagi tempoh September 2024 hingga September 2027.
Menurutnya, pihak yang mempertikaikan perkara itu sepatutnya mendapatkan maklumat tepat daripada NFCC atau menghubunginya terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan terbuka.
“Sewajarnya sesiapa yang mempertikaikan pelantikan saya ini mendapatkan fakta sebenar daripada pihak NFCC ataupun bertanya dengan saya terlebih dahulu,” katanya.
Beliau menjelaskan pelantikan itu dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob.
NFCC ditubuhkan bagi menyelaras tindakan membanteras jenayah kewangan yang semakin kompleks, termasuk pengubahan wang haram, penipuan kewangan, pembiayaan keganasan dan jenayah rentas sempadan. Lembaga Penasihat badan itu berperanan memberi pandangan serta nasihat strategik berkaitan dasar dan operasi NFCC.
Sementara itu, Ketua Pengarah NFCC, Shamshun Baharin Mohd Jamil, mengesahkan Azam dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat bagi tempoh 20 September 2024 hingga 19 September 2027 atas kapasiti individu.
Beliau berkata keanggotaan Azam tidak terikat kepada jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, kecuali jika ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Sehubungan itu, kehadiran Azam dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu adalah selaras dengan Akta 822 kerana beliau merupakan anggota Lembaga Penasihat,” katanya.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum