Bekas COO Tabung Haji didakwa terima kos ubah suai RM302,499: Bernama

September 24, 2026 · Isu semasa

Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Adi Azuan Abdul Ghani, 56, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tiga pertuduhan menerima manfaat berupa kos pengubahsuaian tiga buah rumah berjumlah RM302,499.27, sembilan tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, Adi Azuan yang ketika itu merupakan COO TH didakwa menerima benda berharga dengan balasan yang diketahui tidak mencukupi, membabitkan kos pengubahsuaian tiga rumah di Shah Alam, Kota Damansara dan Subang Jaya.

Kos pengubahsuaian itu masing-masing bernilai RM235,866.58 bagi rumah di Jalan Polo Air, Seksyen 13, Shah Alam; RM50,698.74 di Jalan Sepah Puteri, Kota Damansara, Petaling Jaya; serta RM15,933.95 di Jalan USJ Heights, Subang Jaya.

Ketiga-tiga manfaat berkenaan didakwa diterima daripada Thamsulazri Ismail, pengarah AG Reka Sdn Bhd, yang mempunyai urusan berkaitan tugas rasmi tertuduh.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 7 Mac 2017 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri kepada SPRM serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam tertuduh pula memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya sudah bersara daripada TH sejak 2025 dan merupakan penanggung tunggal keluarga. Tertuduh mempunyai isteri yang tidak bekerja serta empat anak berusia antara 12 hingga 25 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan Adi Azuan diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula dan pengurusan kes pada 25 November depan.

Kes berkenaan merupakan antara perkembangan susulan siasatan terhadap dakwaan salah laku membabitkan pengurusan TH, termasuk perkara yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu.

Sebelum ini, prosiding terhadap Adi Azuan yang sepatutnya berlangsung pada 3 September ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana masalah berkaitan jantung.

Berita berkaitan
BERSIH persoal pengampunan Najib, gesa isu tahanan rumah diperjelas
November 18, 2026· Politik
Pemimpin rasuah bukan wajar diagungkan: Anwar
November 14, 2026· Isu semasa
Siapa sumbang RM50 juta untuk Najib? Kadir mahu SPRM siasat
November 9, 2026· Isu semasa
Dokumen pembebasan Najib dipersoal, analisis kesan kesilapan rujukan undang-undang
November 8, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
10 jam lalu · Isu semasa
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
10 jam lalu · Isu semasa
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
10 jam lalu · Isu semasa
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
10 jam lalu · Isu semasa
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok