Najib Razak.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), A Kadir Jasin menggesa pihak berkuasa menyiasat sumber wang RM50 juta yang digunakan untuk membayar denda bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang menyediakan dana berkenaan serta memastikan wang itu diperoleh melalui sumber yang sah.
Menurut Kadir, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu bekerjasama meneliti aliran wang berkenaan.
Katanya, siasatan wajar dijalankan tanpa mengira sama ada wang itu disumbangkan UMNO atau pihak lain.
“Pihak-pihak berkuasa seperti SPRM, PDRM, LHDN dan Bank Negara Malaysia (BNM) wajar menyiasat bagi memastikan jejak wang (money trail) RM50 juta itu,” katanya menerusi tulisan di media sosial.
Kadir turut membangkitkan kemungkinan dana berkenaan mempunyai kaitan dengan individu atau syarikat yang pernah memperoleh kontrak dan konsesi bernilai berbilion ringgit ketika pentadbiran Najib.
Beliau menyenaraikan beberapa projek mega yang dilaksanakan sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri, termasuk Bandar Malaysia, MRT, LRT, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tun Razak Exchange (TRX) dan Menara 118.
Turut dibangkitkan ialah projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP), yang menurutnya hanya mencapai 13 peratus kemajuan walaupun 88 peratus daripada nilai projek sudah dibayar.
“Boleh jadi ada tauke-tauke yang mendapat habuan daripada projek-projek ini yang berasa terhutang budi (kepada Najib).
“Walaupun sebahagian projek-projek ini berjalan lancar, namun unsur rasuah tetap tidak boleh ditolak bulat-bulat,” katanya.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah dalam kes SRC International membabitkan tujuh pertuduhan.
Hukuman asal penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikurangkan menerusi pengampunan diraja kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Isu pembayaran denda itu kembali menjadi perhatian susulan perkembangan berkaitan permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman di rumah.
Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta selepas memenuhi syarat pembayaran denda RM50 juta. Bagaimanapun, beliau kemudian dibawa semula ke penjara susulan pertikaian berhubung tafsiran dan kandungan perintah berkaitan tahanan rumah.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut berdepan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion selepas disabitkan dalam kes 1MDB-Tanore membabitkan 25 pertuduhan. Pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun masih tertakluk kepada proses rayuan.
Desakan supaya sumber wang RM50 juta itu disiasat bukan perkara baharu. Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua sebelum ini turut menggesa SPRM dan BNM meneliti serta mengaudit dana berkenaan bagi memastikan ia bukan hasil pengubahan wang haram.
Pua juga mempersoalkan keutamaan UMNO dalam mengumpulkan dana bagi membantu Najib, sedangkan wang berkenaan boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Isu ini sekali lagi membuka persoalan mengenai ketelusan sumber kewangan yang digunakan untuk membayar denda dalam kes berprofil tinggi, khususnya apabila melibatkan bekas pemimpin tertinggi negara.
SPR daftar hampir 42,000 pengundi baharu pada Oktober
MySIREN lebih pantas daripada SMS, data pengguna kekal selamat: Fahmi
MySIREN dilancar, amaran kecemasan terus ke telefon bimbit
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan