Isu rasuah di Malaysia.
Rakyat diingatkan supaya tidak mengagungkan pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah kerana tindakan itu boleh memberi contoh buruk kepada generasi muda serta menjejaskan usaha membina masyarakat berintegriti.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat mungkin boleh menerima seseorang individu, namun perbuatan mendewakan atau mengangkat pemimpin yang dikaitkan dengan salah laku rasuah tidak seharusnya dinormalisasikan.
Menurutnya, rasuah merupakan antara punca utama keruntuhan sesebuah negara dan masyarakat tidak boleh bersikap toleransi terhadap amalan itu, termasuk apabila membabitkan individu berpengaruh.
“Saya fikir kita boleh terima orang tetapi untuk mendewakan, mengagungkan itu musibah. Apa nak ajar pada anak-anak?
“Nak ajar antirasuah? Tengok muka pimpinan. Betul nak tolak rasuah?” katanya ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, hari ini.
Anwar turut mengingatkan rakyat supaya mengambil iktibar daripada sejarah beberapa negara yang mengalami kemerosotan akibat kegagalan mempertahankan prinsip integriti dan tadbir urus.
Beliau memberikan contoh Afrika Selatan yang pernah dipimpin tokoh anti-apartheid, Nelson Mandela, namun berdepan masalah rasuah dan kelemahan tadbir urus pada era kepimpinan selepasnya.
Katanya, keadaan itu membuktikan kemajuan sesebuah negara tidak menjamin kestabilan berpanjangan sekiranya pemimpin dan rakyat mula bertolak ansur dengan amalan penyelewengan.
Anwar turut menyelar sikap pemimpin yang menggunakan kedudukan dan kuasa untuk mengumpul kekayaan sehingga membuka ruang kepada budaya rasuah.
“Rasuah jadi budaya, orang boleh terima. Tak apalah. Kerana budaya itulah, jahanam negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan generasi muda perlu dibentuk dengan prinsip, idealisme dan keberanian untuk menolak sebarang bentuk salah guna kuasa.
Menurutnya, PLKN 3.0 antara platform penting untuk menyemai nilai patriotisme dan integriti dalam kalangan anak muda supaya mereka tidak berkompromi dengan amalan yang boleh merosakkan masa depan negara.
“Ini kursus-kursus seperti PLKN ini untuk bagi suntikan semangat dan keyakinan bahawa negara itu harus diselamatkan dengan prinsip, dengan idealisme.
“Mana ada negara yang selamat dengan toleransi kepada sistem yang bobrok,” katanya.
Malaysia kekal kerusi Majlis ITU, raih 145 undi
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
Anwar ke Shenzhen, bakal temui Xi Jinping semasa APEC
PMKS berpeluang tembusi pasaran China menerusi ACFTA 3.0: PMX
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis