Bekas pegawai NGO berdepan kes rasuah RM98 juta, 2 jam baca 158 pertuduhan

June 16, 2026 · Isu semasa

Seorang bekas pegawai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdepan 158 pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM98 juta dalam prosiding yang berlangsung hampir dua jam di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Tertuduh, Fakhrudin Abd Karim, 57, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Suasana mahkamah menjadi tumpuan apabila dua jurubahasa mahkamah terpaksa bergilir-gilir membacakan keseluruhan pertuduhan yang melibatkan transaksi kewangan bernilai puluhan juta ringgit sepanjang tempoh empat tahun.

Fakhrudin yang memakai jaket coklat dilihat tenang ketika berada di kandang tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, Fakhrudin yang ketika itu merupakan penandatangan diberi kuasa bagi akaun bank Pertubuhan Ikram Malaysia Daerah Hulu Selangor didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan 149 transaksi pemindahan dana pertubuhan berjumlah RM81.95 juta ke akaun sebuah NGO yang didakwa mempunyai kaitan kepentingan dengannya.

Selain itu, beliau turut berdepan sembilan lagi pertuduhan kerana didakwa mengarahkan pemindahan dana daripada NGO sama ke dua akaun bank miliknya membabitkan jumlah RM16.32 juta.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat pertubuhan berkenaan di Bukit Beruntung antara Januari 2021 hingga Ogos 2025.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, memohon jaminan RM1 juta dengan dua penjamin serta syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan beliau tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela N. Sivanathan memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM300,000 dengan alasan semua akaun milik tertuduh, ahli keluarga dan syarikat berkaitan telah dibekukan oleh SPRM.

“Dia mempunyai tujuh syarikat berkaitan dan pekerja tidak menerima gaji selama tiga bulan. Operasi syarikat juga terjejas dan ada kemungkinan pekerja kehilangan pekerjaan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin tempatan, selain mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta melarangnya mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Kes ini merupakan sebahagian daripada siasatan lebih besar berkaitan dakwaan penyelewengan dana awam bernilai kira-kira RM230 juta yang sedang disiasat SPRM menerusi Ops Sutera.

Sebelum ini, dua individu daripada sebuah NGO telah direman bagi membantu siasatan.

Dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita 18 kenderaan mewah, rumah dan hartanah dianggarkan bernilai RM11 juta serta pelbagai aset lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.

Sebanyak 33 akaun bank yang mengandungi kira-kira RM120 juta juga telah dibekukan bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan
Perbicaraan Vivy Yusof: Saksi beritahu RM8 juta masuk dipindahkan ke akaun lain
July 20, 2026· Isu semasa
Zizie Izette bebas tuduhan rasuah RM2.8 juta
July 20, 2026· Isu semasa
Pelaburan KWAP rugi RM200 juta perlu disiasat: PMX
July 20, 2026· Isu semasa
Aset 1MDB bernilai USD1.37 bilion berjaya dibawa pulang
July 19, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Berita baik untuk rakyat, bantuan SARA akan dinaikkan pada masa terdekat
4 jam lalu · Isu semasa
Teknologi perlu selamat, adil dan dipercayai
7 jam lalu · Isu semasa
Festival Sungai Melaka cipta dua rekod Malaysia Book of Records
10 jam lalu · Isu semasa
MCMC rekod lebih 377,000 permohonan turunkan kandungan bahaya tahun ini
13 jam lalu · Isu semasa
Malaysia tegas pertahan kedaulatan, bantah campur tangan Ahli Kongres AS: Fahmi
13 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Syarikat telco bocor data Khairul Aming merisaukan, Fahmi arah MCMC dapatkan laporan penuh
July 21, 2026
[VIDEO] PH sudah buktikan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan, PRN ini teruskan kerajaan yang stabil
July 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok