Bersatu sambut baik langkah kerajaan ringankan beban rakyat: Muhyiddin

August 31, 2026 · Politik

Presiden Parti Bersatu, Muhyiddin Mohd Yassin menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai beberapa langkah untuk meringankan kos sara hidup rakyat, membantu sektor perniagaan serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata keputusan mengembalikan had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan dilihat mampu membantu rakyat berdepan peningkatan kos kehidupan.

Pada masa sama, langkah menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun turut disifatkan sebagai kelegaan kepada perniagaan yang berdepan tekanan kenaikan kos.

“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai langkah-langkah untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, beberapa langkah lain turut mempunyai potensi besar dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam serta merancakkan aktiviti ekonomi.

Antaranya peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah berjumlah RM500 juta, pendigitalan perkhidmatan kesihatan dan pemberian akses langganan perisian kecerdasan buatan kepada golongan belia.

Kerajaan turut menyediakan tambahan kemudahan mikro kredit sebanyak RM1 bilion untuk peniaga kecil serta geran RM200 juta bagi membantu penjaja kecil, peniaga pasar malam dan wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah.

Muhyiddin berkata inisiatif itu diharap dapat memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain memperkukuh bidang pendidikan, kesihatan dan ekonomi digital.

Namun, beliau menegaskan pelaksanaan menjadi perkara penting susulan pengumuman berkenaan.

“Adalah penting untuk kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan menyalurkan peruntukan dengan kadar segera dan memastikan setiap bantuan sampai kepada individu dan perniagaan yang layak,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin berharap langkah berkenaan tidak terhenti setakat pengumuman, sebaliknya disusuli pendekatan lebih menyeluruh menerusi Belanjawan 2027.

Beliau berkata langkah tambahan perlu memberi tumpuan kepada usaha meringankan kos sara hidup, membantu sektor perniagaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Ini termasuk mengkaji semula dasar mengenai percukaian dan rasionalisasi subsidi yang dilihat memberikan kesan langsung kepada beban yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini,” katanya.

Pengumuman kerajaan itu dibuat ketika isu kos sara hidup dan peningkatan kos operasi perniagaan terus menjadi antara perkara utama yang mendapat perhatian rakyat serta komuniti perniagaan.

Berita berkaitan
Anwar, Zahid santuni rakyat semasa sambutan Hari Kebangsaan
11 jam lalu· Isu semasa
Agong, Raja Permaisuri ucap Selamat Hari Kebangsaan ke-69
11 jam lalu· Isu semasa
PMKS berpendapatan bawah RM3 juta kini tak wajib e-Invois
24 jam lalu· Isu semasa
MCMC: Tambahan peruntukan akan lonjak pendigitalan kesihatan awam
24 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Urus Setia jelas isu jemputan bekas PM
1 jam lalu · Politik
BN-PN perlu jawab kerjasama demi rakyat atau kepentingan politik: AMK
11 jam lalu · Politik
Kian Ming keluar DAP, mahu bantu KJ berkempen pada PRU-16
11 jam lalu · Politik
Rayuan Rosmah terhadap kes solar bermula minggu ini
11 jam lalu · Politik
Bersatu masih komponen PN, tapi hubungan politik terhenti secara teknikal: Takiyuddin
August 30, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok