Zambry Abd Kadir.
Barisan Nasional (BN) kini berada dalam fasa akhir mengenal pasti calon bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir berkata persiapan awal telah dimulakan antara kepimpinan pusat dan BN Sabah bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) tersebut.
“Beberapa perbincangan awal sudah berjalan. BN Sabah ada autonomi, jadi mereka akan berbincang secara dalaman dahulu sebelum mengemukakan nama kepada Pengerusi BN,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) Pulau Pangkor Fasa Kedua di Arena Teluk Gedung, Pulau Pangkor hari ini.
Menurut beliau, proses penilaian calon di peringkat bahagian akan dikendalikan oleh Jafry Ariffin selaku Pengerusi UMNO Sabah yang baharu.
Zambry berkata keputusan akhir termasuk pengumuman calon akan dibuat sendiri oleh Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN.
“Kesimpulannya, Pengerusi BN akan umum dua perkara: siapa yang akan mengendalikan PRK dan siapa calon yang mewakili BN,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan bagi menentukan tarikh penting PRK selepas kekosongan luar jangka dua kerusi tersebut.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti tipis 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Johari: Tiada usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat
PAS jangan diam, jelaskan peranan wakil dalam krisis Negeri Sembilan: AMK
MP Pendang tarik balik kenyataan fitnah terhadap Anwar, kes saman selesai
Kemelut takhta: Majlis menghadap Tunku Nadzaruddin batal, Balai Undang dikawal polis
Rayuan Majlis Peguam cabar pengampunan Najib diputuskan 7 Januari: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum