Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim diterima Dewan Rakyat setakat ini menjelang persidangan Parlimen yang dijadual bermula 5 Oktober depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul berkata, beliau juga belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung usul berkenaan.
“Pun tidak dengar langsung. Bukan belum lagi, tidak dengar langsung,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibawa dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Perkara itu sebelum ini menjadi perhatian selepas Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mencabar mana-mana pihak yang mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan supaya berbuat demikian secara rasmi melalui usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan sama, Johari turut memaklumkan beliau masih belum menerima sebarang usul berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.
“Saya dimaklumkan ura-ura itu ada, tapi saya belum terima lagi kertas. Lazimnya, dua minggu sebelum pembentangan, sebarang usul itu akan dimaklumkan kepada Speaker. Tetapi sekarang ini belum terima apa-apa lagi,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said memaklumkan RUU berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri sudah siap untuk dibawa ke Parlimen dalam sesi akan datang.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini turut dijangka menjadi tumpuan susulan beberapa agenda reformasi institusi yang akan dibawa kerajaan, selain pembentangan Belanjawan 2027.
Mengikut takwim rasmi Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan berlangsung dari 5 Oktober hingga 8 Disember ini.
PAS jangan diam, jelaskan peranan wakil dalam krisis Negeri Sembilan: AMK
Kemelut takhta: Majlis menghadap Tunku Nadzaruddin batal, Balai Undang dikawal polis
Rayuan Majlis Peguam cabar pengampunan Najib diputuskan 7 Januari: Bernama
AGC: Kerajaan Negeri Sembilan tiada kuasa gantung dua pegawai kanan
Sivamalar soal Akmal: Kenapa diam isu Istana Negeri Sembilan?
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum