Kerjasama antara BN dan PH di PRN Melaka masih belum tercapai.
Pakatan Harapan (PH) meminta Barisan Nasional (BN) memperjelas pendirian berhubung kemungkinan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, susulan masih belum ada perkembangan mengenai rundingan antara kedua-dua pihak.
Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari, berkata PH tidak mempunyai masalah sekiranya BN memilih untuk tidak bekerjasama, namun pendirian itu perlu dinyatakan lebih awal supaya persiapan pilihan raya dapat diteruskan tanpa menunggu keputusan rundingan.
Menurutnya, PH bersedia menghadapi PRN Melaka dalam pelbagai kemungkinan, termasuk bertanding secara solo atau membentuk kerjasama dengan pihak lain.
“Setakat ini tidak ada lagi ura-ura mereka (kerjasama). Bila nak sampai bubar (DUN), saya tak pasti, tapi mungkin mereka tak minat.
“Jadi kita tiada masalah kalau tak minat, bagi tahu saja. Kita teruskan (kerjasama tanpa BN),” katanya selepas melancarkan Jentera PH Masjid Tanah di Kuala Sungai Baru, malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin dan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pendirian BN sebelum ini dilihat berubah-ubah apabila parti itu dikaitkan dengan beberapa kemungkinan kerjasama politik menjelang PRN Melaka.
“Mulanya dia kata macam nak pergi solo, kemudian dia kata nak pergi dengan PAS, lepas itu boleh pula nak pergi dengan PH.
“Jadi, itu mungkin untuk mengaburi pihak lawan dan kawan,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata PH tidak akan menunggu keputusan rundingan semata-mata untuk bergerak, sebaliknya persiapan menghadapi pilihan raya akan diteruskan.
Katanya, jentera PH akan terus digerakkan, pasukan diperkukuh dan persediaan dibuat di kawasan yang dikenal pasti untuk ditandingi.
Perkembangan itu berlaku ketika kedudukan kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka masih belum dimuktamadkan, dengan beberapa kemungkinan jajaran politik masih menjadi perhatian.
PH sebelum ini turut memberi isyarat bersedia menghadapi pilihan raya dalam pelbagai konfigurasi, termasuk meneruskan kerjasama sedia ada atau bergerak dengan susunan baharu.
G25 mahu rakyat tahu nasihat AG mengenai tahanan rumah Najib
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
Bersatu tunggu keputusan RoS berhubung aduan PN: Muhyiddin
Najib kekal di Kajang selagi denda RM50 juta belum dibayar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum