Kerajaan lulus RM250 juta siapkan KB Sentral, tambah bantuan pendidikan Islam Kelantan

October 31, 2026 · Isu semasa

Kerajaan meluluskan peruntukan RM250 juta kepada Kelantan bagi menyiapkan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral), selain meneruskan bantuan kewangan untuk memperkukuh institusi pendidikan Islam di negeri itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan peruntukan bagi menyiapkan KB Sentral itu sudah dimaklumkan secara rasmi kepada Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, pembangunan kemudahan pengangkutan awam perlu diberi perhatian seiring usaha menaik taraf prasarana lain, termasuk lapangan terbang.

“Jadi saya luluskan peruntukan penyiapan KB Sentral. Baru saya hantar surat kepada Menteri Besar kerana kita bukan hanya perlu mengindahkan lapangan terbang sahaja, tetapi stesen bas tertutup,” katanya ketika berucap pada Program Sebarkan Salam\@Kota Bharu Berselawat 2026 di pekarangan Masjid Jamek Muhammadi malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut komited memperkukuh pendidikan Islam di Kelantan menerusi bantuan kewangan, penambahbaikan prasarana dan sokongan kepada institusi pengajian tradisional seperti sekolah agama serta pondok.

Menurutnya, sebanyak RM9.36 juta disalurkan kepada 23 institusi pendidikan Islam di Kelantan pada 2025, manakala RM6.628 juta diluluskan tahun ini untuk membantu 42 institusi lain.

“Saya tahu amanah saya. Sementara ada ruang dan kuasa, saya hendak lakukan sebaik mungkin supaya orang anggap pemerintahan dipimpin oleh orang Islam ini adil serta bijak dan lakukan sebaiknya untuk angkat martabat rakyat dan negara,” katanya.

Selain pendidikan, kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi penyelenggaraan dan kerja-kerja baik pulih berkala, menaik taraf kemudahan masjid serta membantu menyediakan sokongan rawatan dialisis kepada pesakit yang memerlukan.

Anwar turut mengumumkan kelulusan penggunaan teknologi pembedahan robotik di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan keselesaan pesakit di Kelantan.

Turut hadir pada program itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, timbalannya, Marhamah Rosli serta Mohd Nassuruddin.

Kelulusan peruntukan KB Sentral dijangka menjadi antara langkah penting dalam melengkapkan kemudahan pengangkutan awam di Kota Bharu, manakala bantuan pendidikan, kesihatan dan prasarana agama mencerminkan usaha kerajaan memperluas pembangunan sosial di Kelantan.

Berita berkaitan
Bantu golongan miskin tanggungjawab kerajaan: Anwar
5 jam lalu· Isu semasa
PMX umum tambahan geran bantu usahawan kecil sebanyak RM200 juta
5 jam lalu· Isu semasa
PMX arah isu e-dagang ditangani segera
October 30, 2026· Isu semasa
Tiada syarat khusus untuk Ahli Parlimen meterai CSA : PMX
October 30, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Sultan Selangor gering, istiadat 1 November ditunda
October 31, 2026 · Isu semasa
Dana Inovasi Media: MPI hargai komitmen kerajaan perkukuh industri media
October 31, 2026 · Isu semasa
Fahmi mahu penerima dana media kekalkan pekerja, jangan berhentikan
6 jam lalu · Isu semasa
Isu aplikasi TuJu: Fahmi minta LLM tidak lepas tangan, ambil tanggungjawab
6 jam lalu · Isu semasa
Utusan rancang kecilkan operasi, 60 pekerja terkesan?
6 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok